KUALA LUMPUR – Keputusan muktamad berhubung agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, secara prinsipnya, gabungan dalam Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk mengekalkan kerusi yang telah dimenangi dalam PRN yang lalu.
“Prinsip asas telah dipersetujui oleh kepimpinan BN dan PH – kerusi yang dimenangi kekal milik parti tersebut. Di Melaka, BN kekal dengan 21 kerusi, PH kekal lima manakala dua kerusi milik Perikatan Nasional (PN) akan dirunding,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dibuat sebagai respon kepada laporan media mengenai sembilan cawangan DAP Melaka yang menyokong strategi “14+14” di mana cadangan agihan kerusi sama rata antara BN dan PH dalam PRN akan datang.
Pada 6 Mei lalu, lebih 100 ahli DAP dari sembilan cawangan telah meluluskan resolusi tersebut dalam Mesyuarat Agung Tahunan mereka.
Majlis itu turut dihadiri pimpinan utama DAP Melaka termasuk Pengerusi DAP negeri, Khoo Poay Tiong, Naib Pengerusi Leng Chau Yen, dan Setiausaha Penganjur, Low Chee Leong.
Mengulas lanjut, Asyraf menegaskan, prinsip itu telah digunakan dalam PRN lalu dan telah disepakati dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PH-BN.
“Buat masa ini, tumpuan utama harus diberikan kepada usaha menyelesaikan pelbagai isu rakyat serta memajukan negeri dan negara. Insya-Allah, apabila tiba masa yang sesuai, perbincangan dan rundingan akan dimulakan oleh kepimpinan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh semalam menolak cadangan DAP tersebut dengan menegaskan BN tidak akan melepaskan mana-mana kerusi yang telah dimenangi dalam PRN lalu termasuk cadangan agihan kerusi 14-14.
Melaka mempunyai 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana 21 dimenangi BN, lima dimiliki PH manakala dua lagi dipegang PN.
Mengikut rekod, PRN Melaka dijangka diadakan selewat-lewatnya November tahun depan. – MalaysiaGazette