BUKIT MERTAJAM – Sebuah gudang yang menyimpan pelbagai jenis cat dan bahan kimia di kawasan perindustrian Permatang Tinggi di sini musnah dalam satu kebakaran hari ini.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pukul 1.13 tengah hari sebelum jentera dan anggota dari beberapa balai bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, kita dapati api sedang marak membakar struktur bangunan seluas 100 kali 100 kaki persegi.

“Dianggarkan kira-kira 70 peratus daripada struktur bangunan Kelas B itu musnah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Mohamad Shoki, gudang berkenaan turut menyimpan bahan kimia jenis methanol dan toulene yang dipercayai mempercepatkan penyebaran api ke premis bersebelahan.
“Operasi pemadaman melibatkan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda, Bukit Mertajam, Sungai Bakap, Batu Kawan, Jalan Perak serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS).
“Ketika ini, usaha memadamkan kebakaran masih giat dijalankan dan pasukan bomba sedang berusaha mengawal api daripada merebak lebih jauh.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Terdahulu, orang ramai kongsi rakaman video yang memaparkan kepulan asap tebal berwarna hitam memenuhi ruang udara susulan kebakaran tersebut. – MalaysiaGazette