GOMBAK – Menggabungkan unsur ketabahan fizikal, kebergantungan spiritual dan nilai kekeluargaan, buku MISI K2 muncul sebagai sebuah karya yang jarang sekali ditampilkan dalam dunia penulisan tanah air.
MISI K2 mengetengahkan kisah inspirasi Ironman Malaysia, Mohd Khafiz Bachok atau lebih dikenali sebagai Kicok yang berjaya menawan Gunung K2 – gunung paling berbahaya di dunia pada 27 Julai 2023.
Diterbitkan penuh warna dengan ketebalan 700 muka surat serta dilengkapi flap eksklusif oleh Bonda Nor Sdn Bhd, buku itu bukan sekadar catatan pendakian.
Menurut Bonda Nor, karya tersebut membuka jendela ke dunia seorang pendaki yang menjadikan Allah sebagai kompas utama dalam setiap langkah.
“Ia bukan sekadar buku motivasi atau catatan pengembaraan, tetapi sebuah kisah perjalanan jiwa yang penuh air mata, pengorbanan dan kasih sayang.
“Topik ini amat jarang disentuh dalam dunia penulisan. Tidak ramai mampu mendaki gunung apatah lagi mendokumentasikan perjalanan mereka dalam bentuk bermanfaat dan penuh hikmah,” ujarnya selaku penerbit pada majlis pelancaran MISI K2 di Perpustakaan M. Kamal Hassan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kelmarin.

Menurut beliau, naskhah berkenaan dihasilkan dengan penuh teliti dan kasih sayang agar dapat menjadi teman jiwa buat mereka yang sedang mencari kekuatan dan pengharapan.
“Alhamdulillah, sebagai penerbit, saya sangat bersyukur dapat hasilkan naskhah yang bukan sahaja menarik dan sarat manfaat, malah tampil dengan kualiti fizikal yang eksklusif,” katanya.
Sementara itu, bagi penulis pula, Kicok mengakui tidak dapat menyembunyikan emosi ketika melihat bukunya berjaya diterbitkan.
“Saya menangis apabila membaca buku ini. Seakan tidak percaya bila mengingatkan pengalaman yang dilalui. Dada jadi sempit, tekak terasa berat terutama bila menyentuh kisah sahabat-sahabat saya yang dipaparkan di dalam buku MISI K2.
“Kegembiraan sebenar hakikatnya bukan hanya ketika saya sampai di puncak tapi apabila melihat rakan-rakan dan keluarga yang menyokong turut bahagia,” ujar Kicok ketika ditemui pada majlis tersebut.
Beliau juga berharap dengan penghasilan karya itu dapat memberi kebaikan buat khalayak pembaca terutama golongan pendaki di luar sana.
“Semoga melalui pembacaan buku ini secara tidak langsung mampu membuatkan kita menginsafi kebesaran Allah Yang Maha Mencipta segala-galanya.
“Sungguh, ketika berada di puncak, saya terasa diri sangat kerdil dibandingkan dengan gunung yang begitu besar.
“Jika kita lihat gunung itu saja sudah tinggi dan besar, apatah lagi betapa agungnya kebesaran Penciptanya iaitu Allah,” ungkap Kicok penuh makna.
Majlis pelancaran buku MISI K2 disempurnakan oleh Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti) UIAM, Prof. Datuk Dr. Mohamad Fauzan Noordin.
Ia turut dihadiri dua pendaki Gunung Everest pertama negara, Datuk M. Magendran dan Datuk N. Mohandas.

Buku MISI K2 dijual pada harga RM89 senaskhah dan dilengkapi dengan kod QR untuk menonton video sebenar pendakian.
Pembelian boleh dibuat melalui penulis atau pasukan Dropshipper Bonda Nor di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, hubungi talian 011-23215587. – MalaysiaGazette