BUKIT MERTAJAM – Dalam nada penuh emosi, pemain kebangsaan negara, Faisal Halim akhirnya bersuara selepas pengumuman kes simbah asid terhadap dirinya diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
“Saya sebagai mangsa… mestilah kecewa,” katanya yang berkongsi isi hatinya setelah berdepan detik hitam yang hampir memusnahkan kerjayanya.
“Tapi apa yang saya boleh katakan, benda pun sudah berlaku, benda pun dah jadi, benda pun dah lepas. Saya berharap sangat, berilah saya kembali dalam kancah bola sepak,” katanya ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Terbuka Piala Faisal Halim U12 di Mengkuang Titi di sini hari ini.
Faisal juga terkilan dengan pihak yang cuba menzaliminya tanpa sebab selain mengingatkan dia bukan sekadar seorang atlet tetapi juga seorang anak, suami dan ayah.

“Kalau ada yang tak kena dengan saya, beritahulah, jangan aniaya saya. Saya tak ada salah silap dengan siapa-siapa… saya rasalah. Kalau kita ada buat salah silap, apa-apa pun, beritahulah daripada buat saya macam ini.
“Saya ada keluarga, saya ada family untuk ditanggung…saya kejar impian sebagai pemain bola sepak ni bukan untuk mengejar kesenangan tapi untuk mengejar kejayaan.
“Saya terima dengan hati yang terbuka. Saya rela dan rasa ini adalah ruang untuk saya kembali semula dalam bola sepak,” ujarnya.
Sebagai penutup, Faisal menegaskan dia kini mahu terus maju dan tidak mahu dibelenggu kisah silam.
“Apa yang saya boleh katakan, saya hanya fokus untuk kerja saya. Saya tak nak fikir lagi pasal kes ke, pasal NFA ke… itu semua terpulang dan menjadi tanggungjawab pihak polis.
“Saya pun tak tahu… saya tak pasti sama ada saya boleh terima keadaan ni atau tidak cuma kini hanya mahu fokus dalam kerjaya saya,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, peguam kepada Faisal Halim berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menutup kes serangan asid ke atas anak guamnya yang berlarutan sejak setahun lalu.
Mohd. Haijan Omar berkata, ia kerana penyerang Selangor FC itu telah mengalami kecederaan serius selain kesan trauma yang teruk sehingga polis mengklasifikasikan kes tersebut di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Mei tahun lalu, Faisal menjadi mangsa simbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya sehingga disahkan melecur tahap empat.
Namun pemain berusia 27 tahun itu kembali bangkit selepas menjalani beberapa siri pembedahan sebelum membuat kemunculan semula di atas padang bersama skuad ‘Gergasi Merah’ pada Ogos lalu.
Malah, Faisal turut dipanggil skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Nepal, pada Mac lalu. – MalaysiaGazette