TAWAU – Pemilihan PKR 2025 perlu dianggap sebagai satu ‘pertarungan antara rakan-rakan setia’ dalam parti, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, kesemua calon berkenaan harus disantuni dengan baik supaya semangat persaudaraan dalam kalangan ahli parti kekal utuh.
“Pemilihan ini antara rakan-rakan setia, yang banyak (daripadanya) tokoh reformasi. Oleh itu, kita kena jaga supaya tidak terlanjur kerana kita mahukan (pemilihan ini) untuk kita rangkul sebagai satu kekuatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah di sini hari ini.
Pada masa sama, Anwar mengingatkan penyokong kepada pihak yang bertanding untuk tidak ‘terlajak’ (berlebihan) kerana ia boleh mengeruhkan keadaan.
“Ini (PKR) persaudaraan yang harus diperkukuh…selesai sahaja Kongres (Kongres Nasional PKR) kita harus bekerja sebagai satu pasukan yang padu,” katanya.
Bagi jawatan Naib Presiden, 12 ahli telah mengemukakan pencalonan masing-masing termasuk empat penyandang iaitu Nik Nazmi Nik Mat (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam), Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Seri Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan) dan Datuk Seri Amirudin Shari (Menteri Besar Selangor).
Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim pula tidak dicabar untuk menang jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) manakala Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan) dan Rodziah Ismail (Ahli Parlimen Ampang) berebut jawatan Ketua Wanita PKR.