Timbalan President PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berucap pada Podcast Yang Bakar Menteri (YBM) di Dewan Serbaguna MBSJ, Seri Kembangan, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 10 MEI 2025.
Timbalan President PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berucap pada Podcast Yang Bakar Menteri (YBM) di Dewan Serbaguna MBSJ, Seri Kembangan, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 10 MEI 2025.

SERDANG – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mengkiritik sikap beberapa kepimpinan parti itu yang dilihat menyimpang daripada nilai sebenar.

Dengan menyebut nama Datuk R Ramanan, Rafizi mendakwa  Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR itu  tidak memahami bahawa PKR adalah parti reformasi yang dekat dengan akar umbi.

“Saya tidak boleh salahkan Ramanan sebab dia baru, masa kita lawan (Datuk Seri) Najib dengan 1MDB dia Bendahari MIC. Dia masuk parti tahun 2020, lepas MIC kalah, dia masih dalam MIC.

“Saya tidak boleh nak salahkan dia mungkin terkeliru dengan budaya parti lama dia dengan parti kita. Jaga akar umbi seperti Ramanan cakap itu, itulah politik wang, saya tidak jaga parti macam itu.

“Kalau nak kata saya tidak jaga akar umbi saya mengaku, sebab PKR ini parti reformasi. Ramanan tidak merasa semua ini, bila dah menang (kerajaan) masuk budaya itu. Mungkin berlaku jujur, sebab ini saya (dianggap) timbalan presiden yang tidak baik.

“Tapi budaya kita dalam PKR jaga umbi lain, kita turun ke bawah kuatkan kawan kita untuk dihormati di kawasan Parlimen dia. Kita tak boleh hulurkan wang sebab parti tidak ada duit,” katanya dalam podcast Yang Bakar Menteri: Yang Berhenti Menteri di Dewan Serbaguna MBSJ, malam tadi.

Jumaat lalu, Ramanan berkata, terdapat sentimen yang semakin meningkat dalam PKR  yang menyebabkan ramai ahli akar umbi merasa kecewa dengan segelintir pemimpin atasan yang kini menjadi “sukar dihubungi” selepas mendapat kuasa.

Tanpa menamakan sesiapa, Ramanan berkata, pemimpin-pemimpin ini dahulunya mudah ditemui sebelum memegang jawatan tingg serta sentiasa boleh dihubungi.

“Tetapi selepas menjadi pemimpin atasan, mendapat pemandu, pengawal peribadi, rumah, kereta, pembantu dan pegawai, mereka menjadi sukar untuk dihubungi. Ini telah menyebabkan ramai ahli merasa kecewa,” katanya pada Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Rafizi turut menyindir Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang menurut beliau sudah berubah dan tidak mengenang budi.

Rafizi mendakwa, beliau  yang membawa masuk Hassan ke dalam PKR dan mencalonkannya untuk bertanding di Parlimen Pasir Gudang pada 2018.

“Kalau nak ikut kecil hati apa yang orang macam Hassan Karim tak cakap pasal saya, sedangkan saya ambil dia di mana dia bukan orang PKR, dia masuk PKR selepas 2008 yang mana dia masih di PRM.

“Kemudian kita bagi peluang kepada dia bertanding di Parlimen Ledang 2013, dia tak menang kemudian saya ambil dia dan beritahu dia saya akan redah Pasir Gudang dan kita nak asuh Hassan Karim jadi calon di Pasir Gudang.

“Dia tidak ada duit, kita kumpul dana deposit dia, kita bayar dan berkempen untuk dia, saya ingat masa dia bertanding di Pasir Gudang pada 2018 dia kena lawan Khaled Nordin. Aku berceramah dengan budak UMNO mengugut segala,” katanya lagi.

Baru-baru ini Hassan mempertahankan Nurul Izzah jika dia memutuskan bertanding merebut jawatan timbalan presiden parti.

Bahkan, Hassan berkata, sokongan terhadap pencalonan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu untuk bertanding jawatan nombor dua pada pemilihan kali ini, tidak menyebabkan nepotisme dalam parti.

“Ini bukan nepotisme, Nurul Izzah mempunyai meritnya untuk bertanding sebagai Timbalan Presiden PKR,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here