KUALA LUMPUR – Seramai 43 individu termasuk tiga tokan dadah diberkas di beberapa ‘pot’ dalam serbuan Ops Sarang di sekitar Kajang dan Klang Selatan.
Menurut Polis Selangor, serbuan itu dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor pada 8 Mei lalu di dua sarang pengedaran dan penagihan dadah.
“Dalam operasi ini, 43 lelaki tempatan telah ditahan dengan pelbagai kesalahan yang kesemuanya berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun.
“Daripada jumlah itu, tiga individu bertindak sebagai pembekal dadah dan modus operandi digunakan adalah penagih akan menunggu tokan datang ke ‘pot’ untuk menjual dadah,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.

Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemuanya positf dadah dan serbuan turut merampas dadah jenis heroin dengan anggaran berat 3.10 gram serta syabu seberat 0.49 gram yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM131.40.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Semakan lanjut, terdapat lima tangkapan mempunyai rekod kesalahan berulang di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dituduh dibawah Seksyen 39(C) akta sama,” ujarnya.
Menurut hantaran itu, Ops Sarang dilaksanakan adalah salah satu inisiatif dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan yang telah dikenalpasti sebagai sarang pengedaran dan penagihan dadah di sekitar Selangor. – MalaysiaGazette