Tangkap layar dari dashcam tular menunjukkan kenderaan jenis Nissan Navara yang disyaki terbabit insiden langgar lari sebelum Plaza Tol Duta di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) di sini, kelmarin.

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara yang disyaki terbabit dalam insiden langgar lari sehingga mencederakan sepasang suami isteri di Plaza Tol Duta, bukan pemilik sah kenderaan tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana suspek memperoleh akses terhadap kenderaan terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/05/11/langgar-lari-pemandu-pikap-direman-mangsa-alami-pendarahan-otak/

“Walau bagaimanapun, pemandu kenderaan itu bukan pemilik sah kenderaan.

“Siasatan masih diteruskan untuk mengetahui bagaimana suspek boleh memandu kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 32 tahun kini sedang direman, dan polis sedang dalam proses memohon lanjutan tahanan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang kelmarin di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), kenderaan yang dipandu suspek dikatakan cuba memotong sebuah motosikal lain.

Namun gagal mengelak lalu merempuh motosikal jenis Benelli TRK 502 yang dinaiki mangsa.

“Kemalangan itu menyebabkan pasangan suami isteri cedera.

“Pembonceng masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala suaminya turut mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh,” tambahnya.

Mengulas dakwaan kenderaan terbabit dipercayai sedang berlumba dengan kenderaan lain ketika kejadian, beliau memaklumkan bahawa perkara itu masih dalam siasatan dan belum ada sebarang kesimpulan dibuat.

Baru-baru ini, rakaman video insiden berdurasi satu minit turut tular di media sosial memaparkan pacuan empat roda itu melarikan diri selepas melanggar motosikal dinaiki pasangan terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here