KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai meluahkan kebimbangan terhadap pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menangani pertikaian berpanjangan antara Kerajaan Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mengenai hak milik serta pengurusan sumber minyak dan gas di negeri itu.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia itu menegaskan, sepanjang enam bulan terakhir, beliau mengikuti secara dekat perkembangan rundingan tersebut.
Dakwanya, beliau mendapati tiada ketelusan dalam penyampaian maklumat kepada rakyat.
“Saya berharap agar Perdana Menteri menunjukkan keikhlasan dalam menyelesaikan isu ini dan tidak menyembunyikan fakta sebenar demi menjaga imej atau kepentingan politik tertentu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dominic turut mempersoalkan kenyataan bercanggah Perdana Menteri berhubung status penyelesaian isu itu.
Katanya, pada Disember 2024, Anwar menyatakan pertikaian telah selesai, namun, pada Januari 2025, beliau hanya menyatakan keyakinan bahawa isu itu telah selesai, sebelum kembali menyuarakan harapan akan penyelesaian pada Mei tahun ini.
“Perubahan pendirian ini menimbulkan persoalan mengenai motif politik di sebalik pendekatan Perdana Menteri,” tegas Dominic.
Gerakan, katanya, berpandangan bahawa Kerajaan Persekutuan wajar menghormati hak eksklusif Sarawak terhadap sumber tenaga dalam lingkungan 200 batu nautika dari perairannya, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963.
“Sebarang kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri haruslah berasaskan kejujuran serta pembahagian kekayaan yang adil, tanpa menindas atau mengeksploitasi mana-mana pihak.
“Walaupun pembahagian hak pembangunan mungkin memberi kesan kepada keuntungan jangka pendek Petronas, syarikat itu beroperasi secara global dan mampu menampung sebarang kekurangan.
“Apa yang lebih penting adalah kepercayaan, pemahaman dan rasa saling menghormati,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dominic turut menyeru Perdana Menteri agar tidak mengalihkan perhatian rakyat atau menyalahgunakan slogan seperti “reformasi, kebebasan dan keadilan” demi kepentingan politik peribadi.
“Negara memerlukan pemimpin yang berwawasan dan mampu menyatukan perbezaan demi kepentingan rakyat, bukan retorik kosong,” katanya.
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap hasrat Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang mahu menandatangani perjanjian muktamad bagi menyelesaikan isu berkenaan yang telah berlarutan sekian lama.
Dalam hal ini, katanya, kejayaan rundingan sangat bergantung kepada pengiktirafan Kerajaan Persekutuan terhadap Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sebagai pengagregat gas tunggal di negeri berkenaan, bagi meningkatkan pendapatan dan pembangunan ekonomi Sarawak. – MalaysiaGazette