Keadaan bangkai trak polis dan lori muatan batu dalam nahas jalan raya yang mengorbankan sembilan mangsa termasuk anggota Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus - Sungai Lampan, Teluk Intan, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 13 MEI 2025. (Gambar fail).

PUTRAJAYA – Laporan penuh mengenai kemalangan tragis yang meragut sembilan nyawa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak dijangka siap dalam tempoh sebulan.

Menurut Jurucakap Kerajaan, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil, Kementerian Pengangkutan telah diarahkan menyediakan laporan tersebut untuk dibentangkan semula kepada Jemaah Menteri bagi pertimbangan lanjut.

Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

Mesyuarat Kabinet sebelum itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kemalangan yang berlaku pada awal pagi Selasa itu membabitkan konvoi tujuh kenderaan Unit 5 FRU yang sedang dalam perjalanan pulang ke pangkalan mereka di Sungai Senam, Ipoh selepas melaksanakan tugasan kawalan awam di Teluk Intan.

Sebuah lori dikatakan merempuh trak yang membawa anggota FRU.

Lapan anggota disahkan maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Teluk Intan. Tiga lagi mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Susulan insiden tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, dua siasatan akan dijalankan serentak oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan satu lagi oleh pasukan petugas khas di bawah Kementerian Pengangkutan.

“Menteri Pengangkutan telah memaklumkan satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk meneliti aspek-aspek yang bukan bersifat jenayah, di mana dari segi kenderaan di bawah bidang Kementerian Pengangkutan, itu akan diteliti dan disiasat.

“Manakala siasatan oleh pihak PDRM diteruskan, jadi akan ada dua set siasatan untuk maklum semua,” jelas beliau.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke turut mengesahkan satu pasukan petugas khas akan ditubuhkan dalam masa terdekat, terdiri daripada pakar keselamatan dan wakil-wakil bebas bagi menyiasat tragedi tersebut secara menyeluruh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here