Calon Majlis Pimpinan Pusat Keadilan, Saifuddin Shafi Muhammad.

KUALA LUMPUR – Calon Majlis Pimpinan Pusat Keadilan, Saifuddin Shafi Muhammad menyifatkan dakwaan Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Selangor, Dr Afif Bahardin bahawa pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai bentuk ‘politik takhta’ sebagai tidak bertanggungjawab dan dangkal.

Menurutnya, tuduhan Nurul Izzah tidak pernah keluar dari bayang-bayang bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah cubaan memanipulasi persepsi rakyat dan merendahkan sumbangan tokoh yang dikenali sebagai Puteri Reformasi itu.

“Jika benar kita junjung demokrasi, penyertaan Nurul Izzah adalah manifestasi demokrasi matang. Beliau menawarkan diri secara sah dalam kerangka parti yang terbuka, sedia dinilai oleh akar umbi. Di mana salahnya?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Tegas Saifudin, Nurul Izzah tidak datang atas ‘dulang emas’, sebaliknya telah bekerja keras lebih 10 tahun dalam dunia aktivisme sebelum menang di kerusi sengit Parlimen Lembah Pantai.

“Beliau bukan pemimpin kontroversi atau oportunis. Tidak pernah lompat parti, tidak menikam belakang,” katanya.

Saifuddin yang juga Pengarah Strategi PKR Selangor berkata, Nurul Izzah adalah sosok pemimpin yang mampu memperkukuh gabungan besar kerajaan hari ini dengan daya tarikan merentas kaum dan generasi serta kebolehan mendekati pengundi Melayu tanpa menggadaikan prinsip.

Mengulas perbandingan Afif yang menyebut Benazir Bhutto dan Indira Gandhi sebagai contoh pemimpin wanita yang kononnya gagal kerana warisan kuasa, Saifuddin menyifatkan ia sebagai longgar dan tidak relevan dalam konteks Malaysia.

“Benazir dan Indira adalah Perdana Menteri. Nurul Izzah bukan Perdana Menteri, bukan pemegang kuasa dan tidak pernah dilantik atas dasar nama. Beliau hanya bertanding secara demokratik dalam parti bukan mewarisi takhta, jadi tidak perlu kita sehingga ke situ,” ujarnya.

Tambah beliau, Nurul Izzah tidak pernah berlindung di sebalik kuasa bapanya malah pernah berbeza pandangan secara terbuka, termasuk ketika kerajaan campuran dibentuk dan tidak memerlukan jawatan untuk kekal relevan dalam politik nasional.

“Nurul Izzah bukan tokoh yang mewarisi  sebaliknya beliau tokoh yang membina. Beliau bukan meminta takhta tetapi menawarkan khidmat. Ini bukan isu warisan, ini soal prinsip dan keupayaan,” katanya.

Beliau menyeru agar semua pihak kembali kepada asas perjuangan Keadilan menjunjung nilai, prinsip dan reformasi bukan mengulang naratif lapuk yang hanya memecah-belahkan parti menjelang pemilihan ketika ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here