KOTA BHARU – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menikam abangnya hingga cedera parah dengan menggunakan tulang ekor pari di sebuah rumah di Bachok, awal bulan ini.
Mohd Izwan Sukarnor, 36, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Mohd Fakhran, 40, menggunakan tulang ekor pari di rumah di Kampung Pauh Jabit Beris Kubur Besar, pada 9.30 pagi, 1 Mei lepas.
Mohd Izwan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Bagi Seksyen 326A Kanun Keseksaan tertuduh boleh dihukum penjara bagi suatu tempoh dua kali ganda daripada tempoh maksimum yang ditetapkan.
Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap Mohd Izwan yang tidak diwakili peguam mengambil kira faktor mangsa adalah abang tertuduh.