KANGAR – Kerajaan Perlis mengharamkan sebarang bentuk penjualan vape atau rokok elektronik (e-cigarette) di negeri ini, berkuat kuasa 1 Ogos depan.
Menteri Besarnya, Mohd Shukri Ramli berkata, keputusan tersebut diambil selepas melihat kepada keburukan vape yang semakin menjadi ancaman terhadap pelbagai peringkat usia termasuk murid sekolah.
“Lesen perniagaan vape tidak akan diperbaharui dan akan ditamatkan segera berkuat kuasa 1 Ogos. Difahamkan tidak banyak premis menjual vape di seluruh Perlis, bawah 50 kedai sahaja.
“Justeru, dengan pengumuman ini, mereka boleh bersiap sedia untuk mencari perniagaan lain yang tidak mempunyai kaitan dengan vape atau rokok elektronik,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Shukri, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis telah mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape sejak 2022 dan kini ia disusuli dengan pengharaman penjualannya pula.
Tambah beliau, meskipun sukar untuk mengekang penggunaan vape sepenuhnya, namun kerajaan negeri tetap berusaha untuk mencegah anak muda daripada terlibat dengan vape.
Bulan lalu pula, seorang pelajar Tingkatan Tiga berbuih mulut diserang sawan selepas dipercayai menghisap vape dalam tandas sebuah sekolah di negeri ini. -MalaysiaGazette