KUALA LUMPUR – Permohonan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memindahkan semua tujuh pertuduhan yang dihadapinya untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi, didengar pada 16 Jun ini.
Peguam Tang Jia Wearn yang mewakili bekas Perdana Menteri memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini, permohonan itu dijadual didengar di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.
Sehubungan itu, beliau memohon tarikh pengurusan kes ditetapkan bagi mengetahui status permohonan tersebut.
Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan pengurusan kes pada 11 Julai ini dan membenarkan permohonan pihak pembelaan supaya kehadiran Muhyiddin dikecualikan pada hari tersebut.
Muhyiddin yang tidak hadir hari ini, memfailkan permohonan untuk memindahkan kesnya ke Mahkamah Tinggi pada 4 April lalu.
Ia melibatkan empat kes menggunakan kedudukan untuk suapan sebanyak RM232.5 juta dan tiga pengubahan wang haram (AMLA) mencecah RM200 juta.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat berkata, pihak pendakwaan telah menyerahkan baki senarai nama saksi bagi kes AMLA kepada pembelaan, pagi ini.
Ahli Parlimen Pagoh itu mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi, dengan alasan ia melibatkan persoalan dan isu undang-undang yang boleh menimbulkan kesulitan luar biasa jika kes itu didengar di Mahkamah Sesyen.
Menerusi dokumen yang diperoleh, pemimpin politik itu berkata, ini merupakan kes berkepentingan awam yang menarik perhatian umum dan mendapat liputan media yang meluas dari dalam dan luar negara.
Sehubungan itu beliau memohon perbicaraan dijalankan di hadapan seorang Hakim Mahkamah Tinggi yang berpengalaman dan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes berkepentingan awam.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Muhyiddin didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu dan tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu.
Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, Muhyiddin selaku Presiden parti itu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu. – MalaysiaGazette