KUALA LUMPUR – Polis akan merakam keterangan tiga anak kepada Datin Seri Pamela Ling Yueh di Singapura dalam masa terdekat untuk membantu siasatan berkaitan kehilangan wanita itu pada 9 April lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, semakan sebelum ini mendapati Pamela memiliki tiga anak dan ketiga-tuganya berada di Singapura.
“Proses rakaman keterangan terhadap tiga anak wanita berkenaan akan dijalankan dalam masa terdekat dan ia sebahagian tindakan untuk melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Rusdi tidak mendedahkan maklumat berkaitan identiti termasuk umur dan dan jantina ketiga-tiga anak wanita berkenaan.
Katanya, polis juga masih dalam siasatan ketika ditanya kemungkinan suami Pamela berada dalam senarai suspek.
Sebelum ini, media melaporkan polis sedang menjalankan kerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dan agensi penguat kuasa di Singapura dalam menjalankan proses rakaman keterangan.
Rusdi juga dilaporkan berkata, seramai 27 individu sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette