Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS, Khairil Nizam Khirudin pada Program MGSkop di Pejabat Malaysia Gazette. Foto MOHD ADZLAN, 21 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas Pusat (HAKS) menggesa pihak berkuasa mempercepatkan laporan siasatan berhubung kejadian letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.

Pengerusinya, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, siasatan punca kejadian letupan tersebut perlu disegerakan atas kepentingan awam terutama penduduk yang terkesan dengan kejadian tersebut.

Siasatan tersebut dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia manakala siasatan aspek teknikal dan integriti dilakukan oleh pihak berkepentingan seperti Petronas, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Majlis Bandaraya Subang Jaya dan juga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan,

“Siasatan ini penting untuk mempastikan punca sebenar kejadian letupan tersebut bagi membolehkan langkah keselamatan yang perlu diambil oleh semua pihak bagi mengelakkan tragedi sama berulang.

“Jika berlaku sebarang perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) melibatkan pihak luar terhadap ‘Right of Ways’ saluran paip gas milik Petronas, perkara ini hendaklah diteliti oleh pihak berkuasa dan segera mengambil langkah tindakan dari sudut perundangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, siasatan punca teknikal secara komprehensif juga penting kerana saluran paip gas sedia ada terdedah kepada faktor luar seperti perubahan struktur tanah serta mendapan air dalam tanah yang boleh memberi kesan kepada integriti saluran paip tersebut.

“Walaupun reka bentuk kejuruteraan saluran paip tersebut dibuat untuk bertahan lebih daripada 30 tahun tetapi, sebarang faktor luar – seperti mendapan tanah, kesan kerja luaran seperti penanaman paip saluran air berhampiran dengan jajaran paip gas yang berkemungkinan menyebabkan perubahan kedudukan asal saluran paip tersebut boleh menyebabkan potensi berlaku kebocoran.

“Kami bimbang dengan kelewatan siasatan ini menyebabkan Petronas perlu menanggung kos yang semakin tinggi kerana tidak dapat menggunakan jajaran laluan saluran paip tersebut untuk membekalkan gas kepada pelanggannya,” katanya.

Jelasnya, Petronas Gas Berhad (PGB) yang pada awalnya dijangka menanggung kerugian antara RM18 juta hingga RM35 juta akibat kejadian ini, berkemungkinan menanggung kos lebih tinggi dengan kelewatan siasatan.

“Anggaran ini adalah merangkumi kehilangan hasil, kos pembaikan kerosakan, pampasan awam, dan pengurusan reputasi,” katanya.

Tambahnya sebagai syarikat milik negara, reputasi dan nama Ptronas adalah penting untuk dipelihara dan pada masa sama, nasib rakyat yang terkesan dengan tragedi ini perlulah dibela dengan sewajarnya.

Insiden letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pada 1 April lalu iaitu ketika umat Islam meraikan hari kedua Aidilfitri.

Kebakaran besar paip gas menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan semula.

Kebakaran saluran paip gas Petronas sepanjang 500 meter itu bermula kira-kira jam 8 pagi menyebabkan api menjulang tinggi sehingga dapat dilihat pada jarak beberapa kilometer. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here