Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengumumkan dalam masa terdekat jumlah sekolah yang akan diberi kelonggaran untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Langkah berkenaan, jelas Fahmi, diambil bagi mengurangkan kesesakan dan memastikan kelancaran pergerakan semasa berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN pada 26 hingga 27 Mei ini.

Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga telah mengeluarkan satu pekeliling pada minggu lalu bagi membolehkan penjawat awam di premis atau pejabat yang terkesan untuk bekerja dari rumah.

“Pihak JPA telah menerbitkan pekeliling bagi membolehkan penjawat awam di kawasan-kawasan tertentu untuk melaksanakan kerja dari rumah,” kata Fahmi dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa syarikat-syarikat swasta agar mempertimbangkan langkah serupa khususnya di kawasan pusat bandar Kuala Lumpur.

“Syarikat-syarikat swasta juga digalakkan untuk meneliti terutama lokasi-lokasi di Kuala Lumpur agar syarikat-syarikat swasta memberi ruang kepada pekerja-pekerja mereka untuk bekerja dari rumah,” ujarnya.

Fahmi turut menyatakan pihak kerajaan dimaklumkan tentang peningkatan ketara dalam penggunaan pengangkutan awam ketika lawatan negara oleh Presiden China, Xi Jinping, baru-baru ini.

Jelasnya, kerajaan mendapati semasa lawatan negara itu jumlah pengguna pengangkutan awam meningkat sebanyak 50 peratus.

Oleh yang demikian, beliau menggesa orang ramai agar turut menggunakan pengangkutan awam sepanjang tempoh sidang kemuncak berlangsung sebagai langkah menyokong kelancaran operasi dan pergerakan di ibu kota.

“Saya menyeru orang ramai untuk mengambil pengangkutan awam terutama semasa hari-hari utama persidangan berlangsung,” katanya.

Dalam sidang media sama, Fahmi berkata, insentif konsert dan acara (CEMI) akan mula dibuka untuk permohonan bermula esok hingga 10 Julai depan.

Program insentif penganjuran konsert dan acara bertaraf antarabangsa itu inisiatif yang bertujuan untuk memacu pertumbuhan dan pembangunan industri konsert serta acara di Malaysia bagi menarik lebih banyak acara bertaraf antarabangsa dan berkualiti ke negara ini.

“Inisiatif ini berpotensi untuk menjana peluang pekerjaan, meningkatkan jumlah pelancongan dan memberikan impak ekonomi yang signifikan kepada negara.

“Inisiatif CEMI akan menawarkan insentif kewangan kepada penganjur acara yang memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan. Kriteria tersebut merangkumi skala acara, impak ekonomi dan peningkatan kadar pelancongan yang dijangka, penglibatan kandungan tempatan dan pematuhan kepada garis panduan program,” katanya lagi.

Untuk rekod, mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai panduan dan syarat permohonan boleh merujuk www.mycreativeventures.com.my/CEMI. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here