Masitah Latipah Adam

KUANTAN – Siapa sangka kunjungan kali pertama untuk beriadah di muara Sungai Balok bersama keluarga, Sabtu lepas menjadi kenangan paling pahit buat Masitah Latipah Adam, 42.

Kegembiraan beriadah sambil mencari kepah bertukar tragedi buatnya sekeluarga apabila anak perempuannya, Nur Afia Ramadhani Zulkarnain, 7 lemas selepas terjatuh ke muara sungai itu.

“Sepanjang 30 tahun menetap di Sungai Ular ni, saya tidak pernah pun pergi cari kepah di situ. Itulah kali pertama saya pergi, sebab tengok kawan-kawan kongsi dalam kumpulan ‘whatsapp, pergi cari kepah.

“Kebetulan anak-anak pun ajak pergi sebab bosan duduk di rumah. Jadi, saya bawa sekali anak saya empat orang dan anak saudara,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya.

Menurut Masitah, sebelum kejadian itu, anak lelakinya ada memaklumkan bahawa Afiah hampir lemas ketika dia sedang mencari kepah, namun sempat diselamatkan dan naik ke darat.

Masitah berkata, dia langsung tidak menyedari Afiah kembali semula untuk bermain di sungai itu.

“Kemudian, saya rasa tak sedap hati dan mula bertanya kepada semua orang di situ, tapi tiada siapa yang boleh jawab.

“Jadi, saya cari dan panggil nama Afiah, tapi dia tiada. Saya terus hubungi adik dan bomba. Masa tu memang saya dah kaku dan tak tahu nak buat apa,” katanya.

Bagaimanapun, katanya pihak bomba menghubunginya pada pukul 12 tengah malam hari sama dan memaklumkan telah menemui jasad anak ketujuh daripada lapan beradik itu.

Masitah memberitahu, Afiah merupakan seorang anak yang berdikari dan tidak pernah menyusahkan dia dan keluarganya.

“Kalau keluar rumah tu, dia mesti pakai tudung dan baju lengan panjang. Kalau tak, dia tak mahu keluar. Kalau balik sekolah, dia terus mandi dan pergi mengaji. Baju, seluar semua dia urus sendiri, tak pernah menyusahkan,” kata Masitah lagi.

Tiga hari lepas, media melaporkan seorang kanak-kanak lemas di lokasi tumpuan aktiviti mencari kepah itu dan jasadnya ditemui kira-kira 1.5 kilmeter dari lokasi dia dipercayai hilang.

Jenazah Nur Afia Ramadhannie selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Ular, di sini keesokan harinya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here