KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik Seri Ayu Secret -Radiant Repair Cream kerana mengandungi merkuri.
Susulan itu, notifikasi produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
Menurutnya, merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf dan boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.
Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.
Oleh itu, penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.
Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau
penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Tambahnya, orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli professional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers. – MalaysiaGazette















