1MDB Jho Low Taek Jho shadow director proxy Najib Razak scandal meeting Ismee Ismail
Jho Low @ Low Taek Jho

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan usaha membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low yang mungkin tidak disenangi sesetengah pihak.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakob berkata, beliau keliru dengan kenyataan Anwar itu kerana bertentangan dengan ketegasan Perdana Menteri yang selama ini bertekad mendedahkan dan membanteras perlakuan rasuah.

Dakwa beliau, sekiranya kepulangan Jho Low mampu mendedahkan lebih banyak perlakuan rasuah di negara ini, maka usaha membawa pulang ahli perniagaan dalam pelarian itu sepatutnya dijadikan keutamaan.

Mustapha Ya’akub

“Yang saya tahu Jho Low adalah saksi utama dalam kes 1MDB yang melibatkan Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak).

“Kerana kegagalan membawa pulang Jho Low lah, maka Najib meringkuk di dalam penjara.

“Apakah pendedahan PMX (Anwar) itu membuktikan ada pemimpin lain juga yang bertanggungjawab dalam kes 1MDB?” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Anwar dalam wawancara bersama 101 East terbitan Al-Jazeera berkata, ada pihak tertentu yang tidak berhasrat untuk melihat Jho Low selaku individu dikehendaki berkaitan skandal kewangan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kembali ke negara ini.

Ditanya mengenai lokasi terkini Jho Low, Anwar menjelaskan, pihak berkuasa sedang berusaha mengesannya dan antara tindakan pertama beliau selepas dilantik sebagai Perdana Menteri adalah mengarahkan semua agensi penguat kuasa untuk melakukan apa sahaja bagi menjejakinya.

Sementara itu, Mustapha berkata, kesibukan Anwar mengurus negara bukan alasan untuk beliau lepas tangan dengan membiarkan Jho Low bebas dalam persembunyiannya dan membiarkan Najib terus teraniaya di dalam penjara.

“Kesungguhan PMX (Anwar) untuk membenteras rasuah wajib disokong dan dihormati.

“Tapi beliau hendaklah jujur dan ikhlas dalam bertindak. Jangan ada pilih kasih,” katanya.

Tahun lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilapor memaklumkan bahawa pihak polis masih menjejaki Jho Low, namun tiada petunjuk mengenai keberadaannya.

Pada Mei 2023, Anwar turut memaklumkan rundingan masih berjalan bagi membawa pulang Jho Low ke Malaysia, namun menegaskan proses itu rumit kerana membabitkan pelbagai negara, agensi risikan dan Polis Antarabangsa (Interpol). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here