GEORGE TOWN – Sebutir bom tinggalan era Perang Dunia Kedua ditemui di sebuah tapak projek pembinaan di Jalan Seri Tanjung Pinang, Tanjung Tokong di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan bom itu daripada orang awam kira-kira jam 9.42 malam.
“Susulan itu, sepasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang segera dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan terhadap objek tersebut.
“Hasil pemeriksaan oleh pasukan UPB mendapati objek berkenaan adalah sebutir bom jenis unexploded ordnance (UXO) yang dipercayai tinggalan zaman Perang Dunia Kedua.
“Proses pelupusan bom tersebut dijadualkan pada 20 Mei (hari ini) dan lokasi kejadian kini disahkan dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan dalam insiden itu. – MalaysiaGazette