Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Razeef Rakimin. - Foto: Portal Suara Keadilan

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin melahirkan rasa bimbang dan sedih selepas program pelancaran jentera pilihan raya PKR Sabah yang diadakan Sabtu lalu, menyebabkan ahli-ahli PKR terhimpit oleh pertembungan dua pihak dalam pemilihan parti.

Menurutnya, sejak program itu berakhir, beliau menerima banyak pertanyaan sama ada daripada media atau ahli-ahli PKR Sabah, namun tidak dapat memberi penjelasan memandangkan beliau sendiri hanya mengetahui berkenaan program itu tiga hari sebelum ia berlangsung.

Katanya yang juga Timbalan Ketua Penerangan PKR Pusat, selepas bertanyakan kepada Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, beliau dimaklumkan keputusan mengadakan program itu dibuat oleh Biro Politik Pusat.

Ujar beliau, isu semakin panas apabila Datuk Seri Rafizi Ramli menjelaskan beliau tidak dimaklumkan tentang program itu walaupun merupakan Pengarah Pilihan Raya dan Timbalan Presiden, malah juga tidak dibincang dalam mesyuarat Biro Politik Pusat.

“Akar umbi mula mempersoal pelaksanaan program yang dikatakan tergesa-gesa dalam tempoh pemilihan.

“Akibatnya Nurul Izzah Anwar dan (Datuk Seri) Amirudin Shari dituduh menunggang MPN Keadilan Sabah dan menggunakan program untuk berkempen.

“Di media sosial, akar umbi juga mempersoal pelaksanaan pelancaran jentera sedangkan selepas pemilihan peringkat cabang masih banyak cabang belum melengkapkan jawatankuasa cabang terutama yang baru menang pertama kali,” katanya.

Sehubungan itu, Razeef meminta supaya Program Pelancaran Jentera Pilihanraya Keadilan Sabah tidak lagi dikaitkan dengan Pemilihan Keadilan 2025 atau dikaitkan dengan mana-mana kem dalam pemilihan kali ini.

“Di Sabah kami membuka ruang demokrasi seluasnya kepada perwakilan untuk memilih pemimpin yang boleh mambantu parti ini di Sabah dalam keadaan kami bakal berdepan dengan Pilihanraya Negeri Sabah ke-17,” katanya.

Pelancaran jentera pilihan raya PKR Sabah yang diadakan Sabtu lalu mencetuskan kontroversi selepas dipersoalkan ahli-ahli PKR negeri itu yang mendakwa ia dibuat secara tergesa-gesa selain tidak melibatkan pemimpin PKR Sabah.

Majlis pelancaran itu dihadiri dan disempurnakan oleh dua Naib Presiden PKR iaitu Nurul Izzah Anwar dan Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor meskipun secara tradisinya dilakukan oleh Rafizi selaku Timbalan Presiden. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here