Pegerusi Jawantankuasa Pemandu DPK, Haris Alimudin menyampaikan ucapan ketika hadir pada Majlis Pengumuman Dividen SPKP- DPK bagi tahun 2024 di The Everly, Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 21 MEI 2025.

PUTRAJAYA – Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP), Dana Peladang Kebangsaan (DPK), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM20.03 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 iaitu peningkatan signifikan yang memperlihatkan prestasi pengurusan dana yang lebih cekap dan strategik.

Pengerusi Jawatankuasa Pemandu DPK, Haris Alimudin berkata, dari jumlah tersebut, sebanyak RM15.99 juta diagihkan semula oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) kepada para pelabur yang memberi manfaat kepada hampir 15,000 pelabur.

Menurutnya, ia membabitkan agihan kadar tujuh peratus dividen dan tiga peratus bonus untuk pelaburan sehingga 100,000 unit pertama manakala hibah sebanyak 0.75 peratus diberikan kepada akaun simpanan Al-Wadiah DPK.

Mohamad Sabu (belakang, tiga kiri) bergambar bersama-sama dengan penerima sijil Ejen Terbaik DPK dan Kutipan Tertinggu Tahun 2020-2024 pada Majlis Pengumuman Dividen SPKP- DPK bagi tahun 2024 di The Everly, Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 21 MEI 2025.

“Kadar tahun ini mencerminkan prestasi terbaik DPK setakat ini dan telah melalui penelitian oleh Jawatankuasa Pemandu serta disokong sepenuhnya oleh pengurusan NAFAS.

“Kami percaya, agihan ini bukan sahaja kompetitif, malah menunjukkan keyakinan pelabur terhadap pengurusan yang cekap dan beretika,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Dividen Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) iaitu DPK – NAFAS bagi tahun 2024 di sini hari ini.

Kadar dividen DPK bagi tahun kewangan berakhir 2024 diumumkan sebanyak 10 peratuskan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Mohamad Sabu.

Mengulas lanjut, Haris berkata, secara purata, sejak tiga tahun kebelakangan ini, DPK mencatat pertumbuhan pendapatan sekitar 21 peratus setahun dan pertumbuhan aset sekitar 7.5 peratus setahun.

Menurutnya, ia menunjukkan bahawa pendekatan pengurusan pelaburan yang teliti, dengan diversifikasi portfolio yang seimbang, memberi hasil yang sangat baik kepada semua pemegang akaun.

Mohamad Sabu (tengah) menyampaikan sijil kepada Ejen Terbaik DPK dan Kutipan Tertinggu Tahun 2020-2024 pada Majlis Pengumuman Dividen SPKP- DPK bagi tahun 2024 di The Everly, Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 21 MEI 2025.

Ketika ini katanya, DPK menguruskan hampir RM273 juta dana pelaburan, yang melibatkan pelbagai portfolio jangka pendek dan panjang termasuk dalam sektor pertanian, seperti tawaran awam permulaan (IPO) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), hartanah, dan perkhidmatan pembiayaan.

“Sehingga kini, pembiayaan terkumpul lebih RM35 juta telah disalurkan kepada projek-projek pertanian seperti sawit, fertigasi, stesen minyak serta pembelian jentera, termasuk kolaborasi dengan Bahagian Kejenteraan NAFAS.

“DPK juga sedang melaksanakan projek penaiktarafan sistem digital termasuk integrasi sistem MyDPK dengan rangkaian pembayaran seperti FPX, DuitNow dan JomPay bagi memastikan kemudahan perbankan digital yang lancar dan mesra pengguna.

“Transformasi digital ini selaras dengan matlamat kami untuk menjadikan DPK setanding dengan institusi kewangan lain dari segi kecekapan sistem dan kemudahan pelanggan,” katanya.

Haris menambah, selain pengurusan dana yang mantap, DPK juga sentiasa aktif menganjurkan program promosi dan kempen penyertaan untuk menarik lebih ramai ahli.

Menurutnya, selepas kejayaan Kempen Go Invest 2023-2024 dan Kempen Tambah Ahli 2024, kini NAFAS memperkenalkan Kempen Go+Invest 2025 yang menawarkan hadiah lumayan kepada pelabur baharu dan sedia ada, termasuk ahli individu dan rangkaian Pertubuhan Peladang.

“Kempen ini berlangsung bermula dari 1 April lalu hingga 31 Disember 2025 di mana hadiah yang ditawarkan bukan sekadar insentif tetapi sebagai galakan untuk ahli terus melabur dan yakin kepada platform ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast