Klinik ‘DrMaleeq’ didalangi warga Pakistan yang mengenakan bayaran kepada setiap pesakit sebanyak RM90 sejak setahun lalu menerusi dalam talian. Foto JIM.

KUALA LUMPUR – Menawarkan perkhidmatan perubatan kepada warga asing dengan harga murah menggunakan doktor tidak bertauliah dan hanya melakukan pemeriksaan pada waktu malam.

Itu antara modus operandi dikesan di klinik ‘Dr Maleeq’ yag didalangi warga pakistan dengan mengenakan bayaran kepada setiap pesakit sebanyak RM90 sejak setahun lalu menerusi dalam talian.

Kegiatan haram klinik itu terbongkar dalam serbuan dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di dua lokasi sekitar Selangor iaitu Sungai Buloh dan Shah Alam serta Jalan Ipoh, Kuala Lumpur sekitar pukul 11.20 malam pada 19 Mei lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi dilakukan hasil maklumat dan risikan selama dua minggu oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Kita telah menahan enam individu berusia 23 hinga 57 tahun melibatkan seorang lelaki warga Pakistan dipercayai sebagai doktor tidak bertauliah dan dikenali sebagai ‘Dr Maleeq’.

“Turut ditahan tiga perempuan warga Myanmar disyaki sebagai pembantu klinik dan dua wanita masing-masing warga Pakistan warga  India,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Enam individu berusia 23 hinga 57 tahun ditahan termasuk seorang lelaki warga Pakistan dipercayai sebagai doktor tidak bertauliah dan dikenali sebagai ‘Maleeq’. Foto JIM.

Tambah beliau, semakan awal mendapati lelaki warga Pakistan itu telah tinggal lebih masa, seorang warga Myanmar menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

“Satu lagi wanita warga Myanmar memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) dan warga asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” ujarnya.

Zakaria memaklumkan, pihaknya turut menyita buku log pesakit, cop klinik, beberapa pasport dari Pakistan, India, Myanmar, peralatan perubatan, resit sijil sakit, telefon bimbit klinik dan baju pengamal perubatan untuk tujuan siasatan.

Kesemua warganegara asing ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ditahan Depot Imigresen KLIA untuk tindakan lanjut.

“Seorang lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga Filipina telah diberi notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

“Kita akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast