KUALA LUMPUR – Seorang pelajar Tingkatan Lima maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah lori yang membuat pusingan U di Batu 12, Jalan Kapar, Klang, Selangor semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S.Vijaya Rao berkata, kaunter aduan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara menerima laporan kejadian itu pada jam 4.45 petang.
“Siasatan mendapati, kejadian berlaku kira-kira jam 4.35 petang ketika remaja lelaki itu menunggang motosikal dari arah Kapar menghala ke Jeram, Kuala Selangor.
“Kemudian sebuah lori dipandu lelaki warga tempatan dari arah Kapar membuat pusingan U di lokasi kejadian dan mangsa dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tepi sebelah kanan lori terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya telah di bawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.
“Semakan lanjut, mangsa berusia 17 tahun itu memiliki lesen L dan kejadian berlaku ketika mangsa pulang dari kursus memandu di sebuah Institut Memandu di Klang.
“Pemeriksaan mendapati, di lokasi kejadian hanya dibenarkan kenderaan ringan sahaja untuk membuat pusingan U, susulan itu pemandu lori ditahan sebelum diberikan jamin polis,” jelasnya.
Berikutan itu, beliau memaklumkan, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Ahmad Fadzli Abdullah di talian 017-5843860 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya. – MalaysiaGazette
















