KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) perlu mengadakan perbincangan bagi meluaskan kerjasama bagi keperluan gas domestik di Sarawak.
Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO), ia membabitkan kerjasama dalam projek-projek penyaluran bekalan gas sehingga 1.2 bilion kaki padu sehari bagi menyokong Pelan Hala Tuju Gas Sarawak.
Selain itu, kerjasama tersebut melibatkan lain-lain projek tenaga hijau, hidrogen dan penjanaan elektrik yang mungkin dilaksanakan oleh Petronas dan Petros, selaras
dengan aspirasi Sarawak.
“Semua perbincangan lanjut mengenai kerjasama mesti tertakluk kepada daya maju komersial dan teknikal.
“Bagi tujuan projek-projek masa depan di Negeri Sarawak yang melibatkan rakan kongsi antarabangsa, Petronas akan bekerjasama dengan Petros,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan pertemuan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg dan barisan kepimpinan Petronas dan Petros pada 9 Mei lalu.
Menurut PMO, kedua-dua syarikat perlu berusaha untuk terus bekerjasama dalam memperincikan rangka kerja demi kepentingan negara mengikut prinsip komersial secara telus.
Tambahnya, potensi besar yang dapat diterokai secara menyeluruh dari kesepakatan itu mampu memperkukuhkan kepercayaan dan mengembalikan keyakinan para pelabur khususnya syarikat-syarikat antarabangsa di dalam sektor petroleum untuk memuktamadkan hala tuju pelaburan masing-masing di Malaysia.
Menyentuh tentang pertemuan pada 9 Mei lalu, PMO berkata, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak bersetuju mencapai kesepakatan melalui kaedah rundingan dalam bentuk kenyataan bersama pada hari ini di atas semangat persekutuan.
Kenyataan bersama yang ditandatangani Anwar dan Abang Johari merupakan prinsip-prinsip asas yang telah dipersetujui untuk mempermudahkan rundingan seterusnya antara Petronas dan Petros.
“Kenyataan Bersama ini memperakui undang-undang Persekutuan dan Negeri, kedudukan perjanjian-perjanjian sedia ada dan pembentukan rangka kerja kerjasama di antara Petronas dan Petros,” ujarnya.
Antara lain, kenyataan bersama tersebut menyatakan, semua undang-undang Persekutuan dan Negeri Sarawak yang berkaitan dengan pengagihan gas di dalam negeri Sarawak perlu wujud secara bersama dan dihormati oleh semua pihak yang menjalankan aktiviti tersebut di Sarawak, termasuk Petronas dan Petros.
Tambahnya, Petronas akan meneruskan fungsi, aktiviti, tanggungjawab dan kewajipan seperti mana yang diamanahkan kepada syarikat petroleum negara itu di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Petroleum Development Act 1974 PDA 1974) dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Selain itu, menurutnya, kerajaan negeri Sarawak telah melantik Petros sebagai agregator gas berkuat kuasa 1 Mac lalu.
“Pelantikan ini hendaklah dihormati oleh semua pihak yang menjalankan perniagaan pemasaran, pengedaran dan pembekalan gas kepada pengguna domestik di Negeri Sarawak,” katanya.
Tambahnya, sebarang perjanjian dan pengaturan (arrangement) antara Petronas dan/atau anak syarikatnya dengan pihak ketiga bagi tujuan penjualan LNG dari sektor huluan hingga ke pengeksportan LNG kepada pihak-pihak antarabangsa akan kekal tidak terjejas. – MalaysiaGazette