KUALA LUMPUR – Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi kembali berada di landasan terbaik untuk memecahkan rekod kebangsaan 100 meter (m) sekali lagi apabila mencatat masa luar biasa 10.01 saat (s) pada sesi kelayakan Kejohanan Trek dan Padang Universiti Appalachian di Carolina Utara, Amerika Syarikat (AS) kelmarin.
Namun catatan itu tidak diiktiraf kerana bantuan angin melebihi had (+4.7) tetapi pelari sensasi Malaysia itu memberi isyarat menjelang kepulangannya ke tanah air bagi Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia pada 4 hingga 6 Julai ini.
Azeem yang mewakili Universiti Auburn terus unggul apabila membuktikan statusnya sebagai pelari terpantas negara d dengan catatan masa 10.01 saat (s) dalam saringan 100 meter (m) iaitu catatan lebih pantas daripada rekod kebangsaan miliknya, 10.09s.
Namun bagi Azeem, ia tetap menjadi petanda positif buatnya yang semakin hampir untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia di Tokyo yang menetapkan masa kelayakan 10.00s.
Sebelum itu, Olahraga Malaysia (MA) memutuskan untuk menyenaraikan pelari pecut wanita, Shereen Samson Vallabouy ke kejohanan itu atas tiket wild card.
Kekecewaan Azeem, 21, sedikit terubat apabila dia menamatkan perlumbaan akhir di tempat pertama dengan catatan masa 10.09s.
Pelari dari Coastal Carolina iaitu Deonte Hardy berada di tempat kedua dengan masa 10.41s, manakala pelari dari App State, Armonte Ferguson, di tempat ketiga dengan 10.43s.
Azeem adalah pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.09s yang dilakukannya dalam Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia pada 2022. – MalaysiaGazette