PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad terlepas segala peluang untuk menyemak keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan pasangan itu membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali memutuskan demikian secara sebulat suara selepas menolak permohonan pasangan itu untuk menyemak keputusan panel terdahulu yang memerintahkan mereka membela diri terhadap pertuduhan tersebut.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Azizul Azmi Adnan dan Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid berpuas hati, kes tersebut tidak melepasi ‘ambang’ (threshold) bagi membolehkan permohonan semakan dibenarkan.
Dengan keputusan itu, perbicaraan bela diri terhadap kedua-duanya akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad pada 18 hingga 20 Ogos, 2 hingga 4 September dan 24 hingga 26 September ini.
Hakim Che Mohd. Ruzima ketika menyampaikan keputusan itu berkata, kebenaran bagi permohonan semakan wajar diberikan dalam kes yang luar biasa atau wujud ketidakadilan yang ketara bahawa pemohon tidak mempunyai remedi alternatif.
“Kami berpuas hati, perkara yang dibangkitkan oleh peguam di hadapan kami, boleh dihujahkan dalam rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen jika terdapat sabitan yang direkodkan,” ujar beliau.
Bung Moktar, 65, dan Zizie Izette, 47, mengemukakan permohonan itu pada Mac lalu di bawah Peraturan 105, Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994, atas alasan bahawa panel Mahkamah Rayuan sebelum ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan pendakwaan dan mahu panel semakan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi.
Berita selanjutnya menyusul ……
-MalaysiaGazette