Fuziah Salleh

JOHOR BAHRU – Semua pihak bertanggungjawab untuk memastikan tiada perpecahan dalam parti selepas Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025.

Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata, usaha merapatkan semula parti perlu dilakukan segera kerana tidak lama lagi akan berdepan pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Ibarat peribahasa biduk berlalu kiambang bertaut. Kita tak boleh ambil masa terlalu lama dan kena bertaut cepat kerana akan ada PRN dan PRU16.

“Sebab itu saya sebagai Setiausaha Agung parti, sudah melakukan jelajah untuk ajak kepada konsiliasi dan rekonsiliasi,” katanya ditanya sama ada pemilihan kali ini akan menyebabkan perpecahan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR di sini malam ini.

Pemillihan PKR 2025 melibatkan jawatan Timbalan Presiden PKR antara Datuk Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar mendapat perhatian dan didakwa akan menyebabkan perpecahan sebelum dan selepas pemilihan.

Dalam pada itu, beliau mahu semua ahli PKR menjaga parti tersebut dan tidak ‘menebuk’ kapal mereka sehingga karam.

“Parti ini ibarat sebuah organisasi, kalau kapal itu ditebuk semua akan karam, maka tanggungjawab kita semua untuk jaga organisasi ini,” ujarnya.

Jelasnya, semua pihak bertanggungjawab jaga kebajikan parti dan bersama-sama terus mengangkat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri untuk penggal kedua nanti.

Fuziah berkata, nasihat tersebut tidak ditujukan kepada mana-mana pihak tetapi sebagai satu pesanan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast