Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha bercakap pada sidang media selepas hadir ke Operasi Mega JIM Bersepadu di Apartment Mentari Court, Petaling Jaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 22 MEI 2025

PETALING JAYA – Seramai 597 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi mega Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama agensi penguatkuasaan lain di sekitar pangsapuri Mentari Court, di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, tangkapan PATI itu hasil pemeriksaan pihaknya ke atas 1,597 warga asing dari pelbagai negara yang mendiami kawasan perumahan itu.

“Antara PATI yang ditahan termasuk warganegara Indonesia (201), Bangladesh (71), Pakistan (46), Myanmar (226), Nepal (44), Thailand (1) dan India (8).

“Kesemua yang ditahan berumur di antara 11 hingga 59 tahun, terdiri dari 472 lelaki dan 125 perempuan,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai Op Mega JIM bersepadu di Mentari Court, di sini, malam ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha ketika hadir ke Operasi Mega JIM Bersepadu di Apartment Mentari Court, Petaling Jaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 22 MEI 2025

Turut hadir Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon dan Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin.

Jefri berkata, op mega yang bermula jam 9 malam itu bagaimanapun berakhir hampir tiga jam.

“Operasi penguatkuasaan ini melibatkan 390 pegawai dari JIM Selangor, JIM Putrajaya, JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya,” katanya.

Jefri juga berkata, kesemua PATI yang ditahan akan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan susulan.

“Kebanyakan PATI yang ditahan bekerja di restoran, kedai runcit, malah ada yang didapati mengusahakan perniagaan sendiri.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, pemegang kad yang tidak diiktiraf dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen,” katanya.

Antara warga asing yang ditahan ketika serbuan Operasi Mega JIM Bersepadu di Apartment Mentari Court, Petaling Jaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 22 MEI 2025

Katanya lagi, operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa serta mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.

“Antara kesalahan yang sering dilakukan ialah di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963; dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“JIM mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi PATI atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast