Seorang lelaki maut dalam keadaan rentung selepas lori dipandunya terbalik sebelum terbakar dalam kemalangan kendiri di Jalan Kidurong, Bintulu, pagi tadi. Ihsan Foto: JBPM.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut dalam keadaan rentung selepas lori dipandunya terbalik dan terbakar dalam kemalangan kendiri di Jalan Kidurong, Bintulu, Sarawak pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Mugai Juming, 59, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terperangkap di tempat duduk pemandu ketika kebakaran berlaku.

Ketua Zon 5 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bintulu, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 9.55 pagi hari ini.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong dikejarkan ke lokasi sejurus menerima makluman.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati berlaku kemalangan kendiri melibatkan sebuah lori 30 tan yang sarat dengan muatan kelapa sawit.

“Kenderaan itu dipercayai terbalik dan terbakar sepenuhnya di atas jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Wan Kamarudin, operasi pemadaman berjaya dilaksanakan sepenuhnya pada pukul 11.45 pagi sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan di kawasan kenderaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan mayat mangsa di bahagian tempat duduk pemandu yang terbakar,” ujarnya.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast