Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA – Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) bukan sekadar hiasan dalam fail kabinet, sebaliknya ia merupakan komitmen nasional.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia diwujudkan setahun yang lalu demi memperkukuh penyertaan, pemilikan, dan penguasaan ekonomi Bumiputera.

“Tetapi jika komitmen ini tidak diterjemahkan kepada tindakan, maka kita hanya membazir masa dan membazir kepercayaan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Sesi Permukiman Setahun Selepas Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Justeru, Zahid merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata semua pihak saling bekerjasama bagi memastikan agenda ini mencapai matlamat yang ditetapkan.

“Kita sudah ada pelan. Kita sudah ada struktur. Kini, yang diperlukan ialah disiplin pelaksanaan dan keberanian membuat keputusan,” ujarnya.

Terdahulu katanya, anjakan PuTERA35 boleh dilaksanakan melalui beberapa langkah strategik.

Langkah yang diambilnya adalah dengan  mengamanahkan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) di setiap kementerian untuk memantau pelaksanaan pelan tersebut.

Katanya, ia bagi memastikan gerak kerja yang dirancang berjalan dengan lancar.

“Peranan ini akan diperkukuh oleh Unit  Pemerkasaan Bumiputera (UPB) yang mesti distruktur semula mengikut kesesuaian masa kini,” katanya lagi.

Selain itu tambahnya, pendekatan pelaporan mengenai PuTERA35 perlu diubah supaya boleh diakses terbuka dan berasaskan data real time

Menurut Zahid, rakyat berhak informasi yang penting termasuklah berkenaan  usahawan Bumiputera telah dilahirkan tahun ini.

“(Rakyat berhak tahu berapa yang telah naik daripada mikro kepada perusahaan sederhana? Berapa graduan  Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini bergaji RM4,000 ke atas?

Jika eKasih dan subsidi bersasar ada dashboard digital  kenapa tiada dashboard untuk memantau kemajuan agenda Bumiputera,” tambahnya.

Selain itu, beliau menyeru semua Syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan entiti korporat strategik tampil menjadi sebagai rakan pelaksana utama bagu melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera.

Dalam masa yang sama, Zahid mahu potensi hartanah Bumiputera yang tidak dimanfaatkan dikenalpasti, dipulihkan dan dimobilisasi secara strategik.

Terdahulu katanya sejak  diwujudkan setahun lepas, pelaksanaan program dan projek di bawah PuTERA35 telah mencapai lebih dari 15.7 peratus.

Sehubungan itu beliau berharap permukiman yang berlangsung hari ini dapat melonjakkan anjakan dalam usaha kita menterjemahkan agenda Bumiputera.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast