KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya melawan arus melanggar sebuah kereta di Jalan Kota Kinabalu-Papar berhampiran Kampung Meruntum, Putatan, Sabah awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton berkata, siasatan awal di lokasi mendapati kereta yang dipandu lelaki berusia 55 tahun dari arah Petagas, Putatan menuju ke Papar.
“Ketika sampai di jalan berhadapan Kem Lok Kawi, Putatan telah berlaku pelanggaran dengan sebuah motosikal yang disyaki ditunggang melawan arus dari arah Kinarut menuju ke Putatan,” katanya dalam kenyataan sambil menamah laporan mengenai insiden itu diterima pada jam 4.20 pagi.
Menurut Sammy, akibat daripada kemalangan tersebut mangsa yang berumur 42 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas dan pemandu kereta terbabit tidak mengalami kecederaan.
Tambah beliau, mayat lelaki itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu untuk bedah siasat.
Sammy berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan tersebut diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp, Amrin Mohamad Arif di talian 017-6638278. – MalaysiaGazettde















