SYDNEY – Duta Besar China di Australia mengecam usaha untuk menghalang syarikat China yang mengendalikan pelabuhan stategik Australia dengan menyifatkkan tindakan itu sebagai ‘etika yang dipersoalkan’.
Kumpulan Landbridge yang dianugerahkan pajakan pelabuhan Darwin selama 99 tahun pada 2015 mendapat kritikan yang membawa kepada siasatan yang lebih ketat dilakukan terhadap penjualan infrastruktur penting.
Pada bulan lalu, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata, pelabuhan tersebut sepatutnya ‘berada di tangan Australia’ dan beliau berikrar untuk menguasai semula aset strategik itu.
Bagaimanapun, Duta Xiao Qian menggesa Canberra mematuhi kontrak dengan Landbridge, firma tenaga dan infrastruktur yang mengintai peluang melangkaui China.
“Pengusaha dan projek seperti ini sepatutnya digalakkan, bukan dihukum.
“Ia (usaha itu) adalah etika yang dipersoalkan untuk memberi pajakan pelabuhan apabila ia tidak untung dan kemudian menuntut semula apabika ia (pelabuhan) untung,” katanya menerusi laman sesawang kedutaan China pada hujung minggu.
Albanese mengkritik kerajaan konservatif terdahulu kerana menjual pelabuhan itu pada harga murah dengan tergesa-gesa kepada ‘syarikat yang mempunyai kaitan dengan kerajaan China’.
Darwin terletak dekat dengan jiran Australia di Asia dan digunakan sebagai pengkalan Marin Amerika Syarikat (AS).
Ketika perjanjian dimuktamadkan, Presiden AS ketika itu, Barack Obama mengadu Washington tidak dimaklumkan mengenai rancangan Australia untuk berurusan dengan Landbridge. – AFP
















