KUALA LUMPUR – Perkhidmatan feri ekspres dari Labuan ke Kota Kinabalu kembali beroperasi hari ini selepas terhenti sementara sejak pasca pandemik.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, ia susulan penambahbaikan dan naik taraf yang dilakukan melalui peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1.3 juta sebelum ini.
Beliau percaya, pengoperasian semula feri tersebut akan membantu penjanaan ekonomi dalam sektor tersebut bagi Labuan dan Kota Kinabalu.
“Alhamdulillah, hari ini dalam sejarah, perkhidmatan feri ekspres ini telah mula beroperasi semula, khususnya dalam tempoh Pesta Kaamatan yang akan disambut beberapa hari sahaja lagi dan penganjuran Borneo Flora Festival yang akan dilaksanakan pada Julai ini.
“Selain menghubungkan budaya dan acara, sudah pasti limpahan ekonomi pesisir di kedua-dua lokasi ini juga sudah pasti turut akan dapat ditingkatkan,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, Zaliha dilaporkan menghadiri Majlis Pelancaran Jeti dan Perasmian Perkhidmatan Feri bagi laluan di antara Labuan dan Kota Kinabalu.
Ujarnya, pemberhentian sementara operasi tersebut sebelum ini menjejaskan pelajar universiti, sekolah dan orang awam yang ingin mendapatkan rawatan termasuklah peniaga kecil dan penjawat awam yang terpaksa berulang alik ke dua-dua kawasan setiap minggu.
“Impaknya adalah produktiviti semakin terjejas.
“Atas dasar itu, pada 25 Februari 2025 yang lalu, saya telah mengadakan pertemuan rasmi bersama Ketua Menteri Sabah untuk membincangkan jalan penyelesaian kepada isu kesalinghubungan antara Labuan dan Sabah, termasuk isu feri ekspres ini,”katanya lagi.-MalaysiaGazette
















