JOHOR BAHRU – Penduduk Kampung Melayu Majidee di sini kecewa dengan Menteri Besar Johor yang didakwa tidak menjawab isu serta permohonan sebenar dibuat mereka berkenaan menukar status Tanah Rizab Melayu (TRM) pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik-Pemilik Tanah dan Penduduk Kampung Melayu Majidee (Perkam), Abdul Rahim Md Shariff berkata, kenyataan dikeluarkan Datuk Onn Hafiz Ghazi semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam tidak menyentuh perkara itu.
“Oleh itu, Perkam tetap dengan pendirian asal penukaran status pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal selama-lamanya. Perkam masih belum menerima jawapan rasmi daripada kerajaan negeri terhadap permohonan yang dibuat itu, sekiranya ditolak kami memerlukan alasan dinyatakan secara jelas sebelum rayuan semula dibuat.
“Kenyataan kerajaan negeri semalam mengenai perlanjutan tempoh pajakan tidak menjadi isu kerana memang dibolehkan sekiranya pemilik tanah mampu untuk membayar premium yang dikenakan.
“Namun kemampuan pemilik tanah untuk menjelaskan kadar premium yang dikenakan sekiranya mereka menyambung tempoh pajakan menjadi persoalan dan isu utama, sebab itulah permohonan penukaran status hak milik kekal yang dibuat berserta rayuan kadar premium paling minima yang mampu dibayar oleh pemilik tanah,” katanya ketila dihubungi.
Semalam, kerajaan Johor dilaporkan tidak pernah dan tidak akan sesekali bersikap zalim selain tidak akan membiarkan kampung tradisi menjadi mangsa pembangunan khususnya berkaitan status pajakan tanah Kampung Melayu Majidee.
Onn Hafiz dilaporkan berkata, status pajakan tanah bukan satu bentuk pencerobohan tetapi sebaliknya itu adalah satu pegangan yang sah di sisi undang-undang.
Katanya, status pajakan tanah tetap memberikan hak milik penuh kepada pemilik termasuk hak untuk mewariskan, menjual dan membuat pembangunan tertakluk kepada syarat dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Pada 20 April lalu, lebih 40,000 penduduk Kampung Melayu Majidee dilaporkan masih menanti jawapan berhubung status permohonan TRM hak milik kekal yang dimohon kepada kerajaan negeri, sejak tahun lalu.
Abdul Rahim dilaporkan berkata, ia berikutan status tanah Rizab Melayu Kampung Melayu Majidee ketika ini masih berstatus TRM Pajakan Negeri 99 tahun.
Katanya, status TRM Pajakan Negeri 99 tahun kampung berkenaan bakal berakhir pada 2053 atau 28 tahun lagi dengan permohonan penukaran status sudah dihantar kepada kerajaan negeri sejak 8 September 2024.
Dalam pada itu, penduduk Kampung Melayu Majidee, Mohd Radzali Mamek, 54, berkata, majoriti penduduk tetap tidak berganjak dengan permohonan asal untuk diberikan hak milik tetap.
Katanya, tindakan penduduk hanya mahu mempertahankan hak mereka bukan mempertikaikan kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri seharusnya memberikan penjelasan terhadap permohonan penduduk Kampung Melayu Majidee untuk tukar hak milik kekal namun penjelasan semalam tiada langsung menyentuh tentang permohonan kami.
“Oleh itu, penduduk bersepakat untuk bersatu hati dan menyerahkan kepada PERKAM untuk mengambil langkah susulan,” katanya.- MalaysiaGazette















