Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Seorang saksi penting pendakwaan memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini, beliau melakukan pelbagai cara untuk ‘menyelamatkan’ Lim Guan Eng supaya tidak didakwa berhubung siasatan kes terowong dasar laut Pulau Pinang.

Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli, 66, berkata, tindakan itu meskipun salah, bertujuan melindungi syarikatnya serta menjernihkan hubungan dengan Guan Eng yang ketika itu Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Saya harap Guan Eng menang dalam kes ini kerana saya terhutang budi kepadanya. Saya tidak berbohong di mahkamah meskipun keterangan saya ‘merosakkan’ beliau.

“Tidak benar saya memberi keterangan yang menjahanamkan Guan Eng. Tugas saya untuk menceritakan yang sebenarnya,” ujar Zarul Ahmad.

Zarul Ahmad Mohd Zulkifli

Beliau yang ketika itu Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB) sanggup membayar RM21 juta kepada seorang ahli perniagaan, G. Gnanaraja bagi menghentikan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya.

Menurut saksi pendakwaan ke-23, beliau turut mengarahkan seorang individu menyediakan invois pembayaran bagi membolehkan wang disalurkan kepada Guan Eng.

“Invois itu bertujuan melindungi Guan Eng ketika pindahan wang dilakukan bagi menutup jejak kewangan supaya tidak dikesan oleh pihak berkuasa,” ujar beliau ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shahaharuddin Wan Ladin pada sesi pemeriksaan semula.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Zarul Ahmad memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu membabitkan projek terowong dasar laut dan jalan utama bernilai RM6.3 bilion.

Pada prosiding itu, saksi ditanya mengapa beliau tidak serik dan masih mahu ‘melindungi’ Guan Eng meskipun mengetahui perbuatan itu salah.

Pendakwa: Adakah selama ini keterangan Datuk semuanya bohong belaka?
Zarul: Tidak sama sekali. Ketika siasatan, saya ditunjukkan dengan banyak butiran dan dokumen dan saya tidak menafikannya, kejadian itu benar-benar berlaku.

Pendakwa: Datuk juga sedia untuk menipu, itu yang dicadangkan oleh peguam?
Zarul: Saya tidak menipu, kalau boleh saya tidak mahu melibatkan Guan Eng tetapi SPRM mengemukakan banyak bukti melalui saksi-saksi dan dokumen yang saya tidak pernah lihat sebelum ini. Jadi saya terpaksa memberitahu perkara sebenar.

Pendakwa: Ketika sesi soal balas pada 2022, Datuk ditanya oleh peguam berhubung kenyataan media yang dibuat walhal Datuk tahu ia (kenyataan media) tidak betul.
Zarul: Saya buat begitu untuk selamatkan projek saya selain melindungi Guan Eng. Masa itu dia sudah pegang jawatan Menteri Kewangan.

Ujar saksi lagi, Guan Eng menghubunginya dan meminta beliau mengadakan sidang akhbar untuk memperbaiki imej kedua-duanya.

Zarul Ahmad selesai dipanggil sebagai saksi pendakwaan hari ini selepas ‘duduk’ dalam kandang saksi selama empat tahun bermula 2021.

Kredibiliti beliau turut dicabar sehingga mahkamah mengendalikan prosiding bagi mencabar kebolehpercayaan terhadapnya sebagai saksi pendakwaan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 64, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmadi dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di antara Januari 2011 dan Ogos 2017, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 24 Jun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast