Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah ketika Mesyuarat Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menziarahi Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) akibat keletihan.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, keadaan baginda dilaporkan stabil dan baik.

“Namun begitu, baginda masih memerlukan pemantauan oleh pasukan perubatan. Ketika ini, baginda ditemani oleh Raja Isteri Pengiran Anak Saleha,” kata PMO.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak pasukan perubatan telah menasihatkan agar baginda tidak menerima sebarang pelawat buat masa ini, kecuali daripada keluarga Diraja Brunei demi memastikan proses pemulihan dapat berjalan dengan lancar.

Katanya, Perdana Menteri menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendoakan semoga baginda dikurniakan afiyah sesegera mungkin serta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT.

Sultan Hassanal Bolkiah berada di negara ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN yang berakhir semalam. Beliau dilaporkan mengalami keletihan dan berehat di IJN semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast