Dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor sedang merawat seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mengalami kecederaan di bahagian tapak tangan tertusuk kaca selepas cubaan memanjat tembok kilang digagalkan.

SHAH ALAM – Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) mengalami luka di bahagian tapak tangannya selepas tertusuk kaca ketika cuba memanjat tembok untuk melarikan diri dalam satu kejadian di sebuah kilang, di sini, hari ini.

Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin bercakap kepada pemberita selepas mengetuai Ops Mahir di ibu pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor di Kompleks PKNS, Shah Alam. 28 MEI 2025, FOTO: NIZAM ZAIN

Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, lelaki itu mengalami kecederaan ringan selepas menyedari kehadiran sepasukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menyerbu tempat kerjanya dalam Ops Mahir, hari ini.

“Betul memang setiap kali operasi ada (PATI) yang cuba melarikan diri atau menyorok di dalam longkang dan parit.

“Operasi hari ini ada yang tangan pun luka, mungkin nak panjat pagar, dia nak melompat, kecederaan tidak serius,” katanya pada sidang media di ibu pejabat JIM Selangor, di Kompleks PKNS, di sini, hari ini.

Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) diberkas ketika cuba melarikan dengan memanjat tembok dalam Ops Mahir di dua kilang di Seksyen 27, Shah Alam, Selangor. 28 MEI 2025, FOTO: NIZAM ZAIN

Terdahulu beliau mengetuai Ops Mahir bersama sepasukan 27 pegawai JIM Selangor ke atas dua kilang di Alam Megah, Seksyen 27, di sini yang menjalankan perniagaan memproses plastik dan membekal pelbagai jenis minuman.

Operasi yang bermula jam 10 pagi itu bagaimanapun berakhir kira-kira empat jam kemudian selepas berjaya menahan 83 PATI kerana melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

Khairrul Aminus berkata, dalam operasi sasar itu, pihaknya memeriksa seramai 150 warga asing yang bekerja di dua kilang terbabit, bagaimanapun hanya 78 lelaki dan lima perempuan PATI ditahan kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

“Dari jumlah itu, seramai 68 merupakan warganegara Myanmar, diikuti Bangladesh (10) dan Pakistan (lima) yang berumur di antara 22 hingga 50 tahun.

Antara 83 pendatang asing tanpa izin (PATI yang ditahan dalam Ops Mahir Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor di dua kilang di Alam Megah, Sekysyen 27, Shah Alam, Selangor. 28 MEI 2025, FOTO: NIZAM ZAIN

“⁠Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan susulan.

“⁠Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, langgar syarat pas, tinggal lebih masa, pemegang kad yang tidak di iktiraf dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen,” katanya.

Dalam pada itu, JIM Selangor turut menahan seorang warganegara Malaysia yang dipercayai pengurus syarikat bagi membantu siasatan.

“Majikan kita akan siasat dan sekiranya betul dia menggaji PATI, kita boleh ambil tindakan, dakwa dan bawa mereka ke mahkamah di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

“Majikan yang ditahan adalah seorang lelaki berumur 48 tahun. Bagaimanapun majikan memberi kerjasama dengan pihak JIM sepanjang operasi dijalankan,” katanya.

Katanya, operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.

“⁠Ops bersasar ini akan dilaksanakan dari masa ke semasa. JIM mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi PATI atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan supaya tampil menyalurkan maklumat tersebut,” katanya.

Katanya, JIM sedang melaksanakan Program Repatriasi Migrain (PRM) 2.0 bermula 19 Mei 2025 sehingga 30 April 2026 di mana warga asing boleh pulang ke negara asal dengan bayaran denda sebanyak RM500.

“Sebanyak empat lokasi pejabat JIM Selangor terlibat dengan PRM 2.0 ini iaitu Shah Alam, Kelana Jaya, Pelabuhan Klang dan Kajang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast