Anggota FRU melakukan pemeriksaan pintu masuk sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 24 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung dari 22 Mei hingga semalam di ibu negara berjalan lancar tanpa sebarang insiden keselamatan.

Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman DCP M V Sri Kumar berkata, kelancaran kawalan keselamatan terhadap semua ketua negara, delegasi dan para petugas berjaya dicapai hasil kerjasama semua pihak terutama Kementerian Luar Negeri dan agensi berkaitan.

“Pergerakan keluar masuk ketua-ketua negara dan delegasi ke lokasi persidangan berjalan seperti dirancang. Kawalan keselamatan terhadap semua pihak sepanjang berlangsungnya sidang kemuncak juga adalah baik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau memaklumkan penutupan jalan secara berperingkat di sekitar hotel penginapan delegasi dan lokasi persidangan berjalan lancar serta mendapat kerjasama baik orang ramai.

Media sebelum ini melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menugaskan hampir 6,200 pegawai dan anggota sepanjang tempoh sidang kemuncak berlangsung bagi kawalan keselamatan.

Penutupan jalan secara berperingkat telah dilaksanakan membabitkan enam lebuh raya dan 25 jalan utama sekitar Lembah Klang bermula 23 Mei lepas.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast