Tertuduh Muhammad Nazim Razali, 29, dan rakannya, Muhamad Syafiq Jasaruddin, 23, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan merogol berkumpulan seorang pelajar universiti awam, melakukan pemerasan dan menyamar sebagai pegawai polis pada 22 Mei 2025.

MELAKA – Dua peniaga makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyamar sebagai polis dan melakukan rogol berkumpulan terhadap seorang pelajar universiti awam, minggu lalu.

Tertuduh, Muhamad Shafiq Asyraf Jasarudin, 23, dan Muhamad Nazhim Razali, 29, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa telah melakukan persetubuhan dengan seorang perempuan berusia 19 tahun tanpa kerelaan mangsa.

Kesalahan itu dilakukan dalam sebuah kereta berhadapan kedai serbaneka di Taman Bukit Rambai Utama dalam daerah Melaka Tengah antara pukul 9 malam dan 10 malam 22 Mei 2025.

Sabit kesalahan kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara minimum 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan (KK).

Kedua-dua peniaga makanan itu turut berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 384 KK dan dibaca bersama Seksyen 34 KK kerana melakukan pemerasan terhadap mangsa sama dan seorang lelaki berusia 20 tahun.

Perbuatan itu dilakukan dengan cara mengugut untuk mencederakan mereka jika tidak memberikan wang berjumlah RM3,000 dan menyebabkan mangsa menyerahkan RM50.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kedai serbaneka di Taman Nirwana dalam daerah Melaka Tengah pada waktu dan tarikh sama.

Sementara itu, kedua-dua tertuduh juga didakwa telah bertindak secara bersama-sama menyamar sebagai penjawat awam iaitu anggota polis di kawasan lapang Pantai Klebang dalam daerah Melaka Tengah pada masa dan tarikh sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau keduanya sekali mengikut Seksyen 170 KK dan dibaca bersama Seksyen 34 KK.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar tidak menawarkan jaminan tetapi mencadangkan RM60,000 seorang bagi kesemua pertuduhan sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara selain syarat tambahan dilarang mengganggu kedua mangsa.

Peguam, K. Shareveen mewakili Muhamad Shafiq Asyraf merayu jaminan rendah kerana anak guamnya, peniaga takoyaki menanggung isteri serta dua anak berusia tiga tahun dan dua bulan.

Kent Tan Chow Teng yang mewakili Muhamad Nazhim juga memberi alasan sama kerana anak guamnya yang masih bujang hanya bekerja sebagai penjual makanan tepi jalan dan perlu menyara ibu bapa yang sakit.

Mahkamah membenarkan Muhamad Shafiq Asyraf dijamin RM13,000 bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa, hadir setiap kali sebutan kes dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan kebenaran jaminan untuk Muhamad Nazhim kerana menunggu kehadiran penjami

Kes akan disebut semula 7 Julai ini untuk serahan dokumen.

MalaysiaGazette pada 23 Mei lalu melaporkan kejadian berlaku ketika pengadu, pelajar universiti dan teman lelakinya yang sedang berdua-duaan dalam sebuah kereta di kawasan sunyi Pantai Klebang didatangi suspek berusia 29 tahun menaiki sebuah motosikal.

Suspek mengetuk cermin tingkap pasangan kekasih itu dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum masuk ke dalam kereta berkenaan dan menghubungi seorang lagi rakannya menaiki sebuah motosikal lain.

Mereka menuduh pasangan itu melakukan hubungan seks serta mengugut supaya membayar RM3,000 jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang namun pasangan itu mendakwa tidak mempunyai duit.

Kedua-dua suspek kemudian memaksa pasangan kekasih itu melakukan hubungan seks di tempat duduk belakang sambil mereka membawa kereta dan merakam adegan lucah menggunakan telefon bimbit.

Apabila tiba di sebuah kedai serbaneka yang mempunyai mesin pengeluaran wang automatik (ATM), suspek mengarahkan teman lelaki mangsa keluar untuk mengeluarkan duit dan meninggalkan kekasihnya bersama kedua-dua suspek menyebabkannya dirogol. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast