LAGOS – Sebuah mahkamah Nigeria menjatuhi hukuman penjara ke atas 15 warga asing, semuanya warga Asia, kerana terlibat dengan ‘keganasan siber dan penipuan internet’, kata agensi anti rasuah kebangsaan.

Ia merupakan salah satu kes seumpamanya terbesar di negara itu.

Seramai 11 warga Filipina, dua warga China, masing-masing seorang warga Malaysia dan Indonesia dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda 1 juta Naira (kira-kira AS$630) setiap seorang selepas mengaku bersalah, kata jurucakap Suruhanjaya Jenayah Kewangan dan Ekonomi (EFCC), Dele Oyewale.

Mereka didakwa merekrut golongan muda Nigeria untuk melakukan ‘rompakan maklumat peribadi dan menonjolkan diri mereka sebagai warga asing’.

“Hakim turut mengarahkan peralatan yang ditemui daripada tertuduh dilucuthak kepada kerajaan persekutuan Nigeria,” kata Oyewale.

Nigeria yang merupakan negara populasi terbesar Afrika mempunyai reputasi penipuan internet dengan slanga tempatan ‘Yahoo Boys’.

EFCC telah menyerbu beberapa tempat persembunyian penjenayah muda belajar melakukan penipuan.

Pakar jenayah siber berkata, kumpulan warga asing merekrut warga Nigeria untuk mencari mangsa penipuan dalam talian menerusi penipuan phishing yang mana mereka cuba memperdayakan mangsa dengan memindahkan wang atau mendedahkan maklumat sensitif seperti kata laluan.

Penipuan disasarkan kepada warga Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Eropah, kata agensi itu.

Pada Disember lalu, EFCC menahan 792 suspek dalam operasi di Pulau Victoria, Lagos.

Sekurang-kurangnya 192 suspek adalah warga asing dan daripada jumlah itu 148 adalah warga China.

Berpuluh-puluh warga China lain sedang menunggu perbicaraan untuk kes jenayah yang sama. – AFP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast