Sumbangan wang berjumlah RM5,440 itu disumbangkan Perisma Pahang dan orang ramai menerusi Tabung Derma Kilat yang dilancarkan dan dibuka selama empat hari.

KUALA LUMPUR – Baru berusia tiga tahun, anak istimewa kelainan upaya (OKU) bernama Mohammad Hadif Azim berdepan ujian yang bukan sedikit.

Kanak-kanak yang belum kenal erti hidup ini baru menjalani pembedahan di bahagian perut dan alat sulitnya di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Atas dasar keprihatinan nasib malang menimpa Hadif Azim, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bomba dan Penyelamat Malaysia (Perisma) Negeri Pahang melancarkan Tabung Derma Kilat buatnya bagi menampung kos pembedahannya itu.

Hanya empat hari sahaja, sumbangan wang berjumlah RM5,440 dapat dikutip yang sedikit sebanyak dapat mengurang beban ibu bapanya.

Sumbangan diserahkan Pengerusi Perisma, Suraya Jusoh kepada bapa Hadif yang juga merupakan Anggota Bomba Mentakab, Pahang, Bakhtiar Azman Jamaludin di Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia, Mentakab, Pahang.

Hadir sama, Pengarah Bomba Pahang, Mohd Razam Taja Rahim, Ketua Balai Bomba Mentakab, Shamsul Affendy Sulaiman dan isteri, Intan Rozailiza Zailan Kamarudin serta Pegawai Operasi Balai Bomba Mentakab, Noorafidah Hanaffiah.

Sumbangan diserahkan Pengerusi Perisma, Suraya Jusoh kepada bapa Hadif yang juga merupakan Anggota Bomba Mentakab, Pahang, Bakhtiar Azman Jamaludin.

Sementara itu, Suraya berkata, sumbangan itu diharapkan dapat meringankan beban bagi memenuhi keperluan Hadif memandangkan bapanya yang masih dalam pantauan hospital kerana dipatuk ular tedung pada 10 Mei baru-baru ini.

“Alhamdulillah, kami dari Perisma Pahang sangat berbesar hati menyampaikan sumbangan ini. Diharapkan ia sedikit sebanyak boleh membantu Hadif yang baru menjalani pembedahan.

“Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat semua anggota bomba, Perisma dan orang ramai yang turut serta memberi sumbangan dan hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa kalian,” katanya.

Bagi Mohd Razam, anggota bomba Pahang sentiasa mendoakan kesejahteraan Hadif sekeluarga dan pihaknya turut membuat kejutan dengan menghadiahkan lori bomba mainan sempena ulang tahun kelahirannya pada 27 Mei lalu.

“Sempena hari jadi Hadif, kami hadiahkan lori bomba mainan itu kerana memahami kecenderungannya yang meminati kerjaya bomba.

“Apa yang penting Hadif gembira dan sekaligus memberi semangat kepadanya. Saya doakan Hadif diberikan kesembuhan dan segala urusan keluarga Bakhtiar dipermudahkan,” katanya.

Sementara itu, Bakhtiar meluahkan rasa syukur dan terharunya dengan usaha serta bantuan yang dihulurkan Perisma.

“Hanya Allah SWTyang mampu membalas jasa mereka dan semua yang membantu di luar sana dan Allah SWT telah menghantar orang baik-baik untuk kami sekeluarga.

“Dengan bantuan yang diberikan, ia amat besar dan bermakna buat kami semua terutamanya Hadif,” katanya. – MalaysiaGazette

Aanak istimewa kelainan upaya (OKU) Mohammad Hadif Azim yang baru berusia tiga tahun.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast