KUALA LUMPUR – Seorang pelancong rakyat Malaysia meninggal dunia semasa menyelam di perairan Iboih, Kota Sabang, Aceh, Indonesia, pagi semalam.
Menurut laporan Berita Rakyat Aceh, kejadian berlaku ketika mangsa, Haikal Rafie Halim, 33, bersama dua rakannya Mai dan Libau yang juga merupakan rakyat Malaysia sedang menyelam di Canyon, betul-betul di hadapan Tugu Kilometer Nol Indonesia.
Berdasarkan maklumat daripada pihak polis, insiden berlaku sekitar 9.30 pagi WIB dan ketiga-tiga mereka diiringi seorang pemandu selam bernama Wahyu Saputra.
Katanya, selepas 20 minit menyelam pada kedalaman 30 meter, kumpulan tersebut dihanyutkan oleh arus bawah laut yang agak kuat dan mangsa dipercayai panik apabila berdepan situasi tersebut
Walaupun telah diarahkan untuk naik ke permukaan, mangsa cuba naik sendiri tanpa mematuhi sepenuhnya arahan daripada pemandu selam.
Apabila tiba di permukaan, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mengeluarkan buih dari mulut.
Evakuasi pantas dilakukan menggunakan bot laju ke pantai Iboih.
Rakan-rakan penyelam bersama pemandu sempat memberikan pertolongan cemas berupa bantuan pernafasan dan pam jantung (CPR) sebelum mangsa dibawa ke Pusat Kesihatan Masyarakat Iboih.
Setibanya di pusat kesihatan pada pukul 10.30 WIB, mangsa terus menerima rawatan namun disahkan meninggal dunia pada 10.50 WIB.
Jenazah kemudiannya dibawa ke Hospital Umum Daerah Kota Sabang untuk proses bedah siasat. -MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast















