Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar tiba bagi keputusan permohonan kebenaran merayu yang dikemukakan oleh Peguam Negara berkaitan kewujudan titah adendum, di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 28 APRIL 2025 (GAMBAR FAIL).

PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) merakamkan ucapan tahniah kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar atas pengurniaan Darjah Kebesaran Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri.

Anugerah tersebut dikurniakan sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bagi tahun 2025 sebagai penghargaan tertinggi atas khidmat cemerlang beliau dalam bidang perundangan dan perkhidmatan awam.

Menurut AGC, penganugerahan itu merupakan pengiktirafan oleh kerajaan terhadap usaha gigih beliau mempertingkat mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan secara cekap dan berintegriti.

“Pengurniaan ini juga secara tidak langsung mengiktiraf fungsi dan peranan penting seluruh warga Jabatan Peguam Negara dalam memberikan perkhidmatan terbaik khususnya dalam bidang perundangan,” kata pejabat AGC, hari ini.

Mohd Dusuki menerima darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri sempena keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara.

Turut dianugerahkan gelaran sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Mohd Dusuki dilantik sebagai Peguam Negara pada 12 November 2024 menggantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Beliau dilahirkan di Machang, Kelantan, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau yang turut berkelulusan Ijazah Sarjana Undang-Undang dari University of Wollongong, Australia, mempunyai pengalaman yang luas selama 31 tahun dalam perkhidmatan perundangan di AGC.

Jabatan itu turut merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan beliau dan menzahirkan komitmen untuk terus mendokong kepimpinan beliau demi kelangsungan perkhidmatan perundangan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast