Anggota maritim membawa dua beradik yang lemas di pantai Pulau Mentigi, Mersing hari ini.

MERSING – Kegembiraan sebuah keluarga pulang bercuti untuk berkelah semasa cuti sekolah berakhir tragedi apabila dua beradik ditemui lemas di pantai Pulau Mentigi di sini hari ini.

Pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Mersing  menerima maklumat daripada Malaysia Rescue Sub  Centre (MRSC) Johor berhubung kejadian itu pukul 4.25 petang tadi.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, susulan itu operasi mencari dan menyelamat diaktifkan dengan Bot Perkasa 44 digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat berkaitan kejadian tersebut.

Menurut maklumat yang diterima, mangsa pertama, Nur Awatif Udaima Mohd Hisam berumur 15 tahun telah dijumpai lebih kurang 19.17 batu nautika dari Kuala Mersing ke Pulau Mentigi.

“Mangsa ditemui di lokasi mangsa lemas dan telah diselamatkan oleh komuniti berdekatan tempat kejadian pada pukul 4.30 petang,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Suhaizan, Bot Perkasa 44 dan komuniti pulau telah meluaskan sektor pencarian untuk mencari dan menyelamat mangsa kedua yang masih hilang.

Menurutnya, pada lokasi sama mangsa kedua, Ahmad Uwais Al Qarni berumur 13 tahun dijumpai hasil pencarian menyelam oleh komuniti pulau pada pukul 6.30 petang.

Kedua-dua mangsa lemas dibawa ke Jeti Pulau Tinggi setelah diselamatkan.

Beliau berkata, mangsa diserahkan ke Pasukan Polis Marin (PPM) untuk dibawa balik ke Jeti Shahbandar Mersing sebelum diserahkan kepada pihak hospital untuk urusan selanjutnya.

Dalam pada itu, Suhaizan merakamkan penghargaan yang tinggi dan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi serta komuniti pulau yang terlibat sepanjang operasi dijalankan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast