Oleh: Dr Afizah Salleh
LANDSKAP penularan HIV di Malaysia telah berubah. Kalau dahulu pada tahun 1990, sebahagian besar jangkitan HIV berlaku kepada penagih dadah yang berkongsi jarum suntikan iaitu sebanyak 67%. Kemudian pada tahun 2010 pula berlaku penurunan kepada hanya 48% jangkitan HIV daripada penagih dadah yang mengunakan jarum suntikan dan selebihnya sebanyak 40% daripada kegiatan heterosexual – kebanyakkannya daripada pekerja seks.
Waktu ini kegiatan homoseksual sangat sedikit dan hanya menyumbang sebanyak 8% jangkitan HIV. Tetapi kini sejak tahun 2021, homoseksual atau nama lainnya MSM (men sex men) telah menjadi penyumbang terbesar kepada jangkitan HIV iaitu sebanyak 63%.
Golongan ini melakukan anal seks yang merisikokan pasangan mereka untuk dijangkiti HIV lebih 90%. Ini kerana lapisan rektum yang nipis (hanya ada sebaris lapisan epithelum columnar) mudah koyak apabila bertemu dengan beban virus yang tinggi. Bahagian dalam anus juga hanya dilapisi oleh satu lapisan epithelium ( non keratinized stratified squamous epithelium ) yang masih mudah terkoyak jika dilalui benda keras berkali-kali.
Sehubungan dengan itu, sejak tahun 2022 KKM telah memulakan program rintis pemberian prEp (pre exposure prophylaxis) iaitu pemberian ubat antiretoviral kepada pasangan pesakit HIV sebelum melakukan hubungan seksual bagi mengurangkan risiko jangkitan. Program ini telah diperluaskan lagi pada tahun 2023 dengan meletakkan ubat tesebut di beberapa klinik kesihatan terpilih.
Terdahulu ubat ini diberikan kepada pasangan yang sah kepada pesakit HIV namun
dengan meningkatnya golongan MSM maka golongan ini adalah penerima terbesar . Natijahnya akan memberi golongan ini peluang untuk melakukan perbuatan yang dilarang ini tanpa rasa takut dijangkiti HIV.
Perbuatan homoseksual adalah dilarang di dalam Islam dan ia dilakukan kerana kejahilan manusia. Surah As-Syuara:( 165-166 ): Patutkah kamu mendatangi kaum lelaki ( secara homoseksual ) dan kamu tinggalkan pasangan-pasangan (isteri-isteri) yang telah diciptakan oleh Tuhan kamu? Bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas. Ayat ini telah diturunkan kepada kepada kaum Sodom melalui Nabi Luth. Mereka terkenal dengan perilaku homoseksual secara terbuka dan perbuatan fasiq yang lain. Nabi Luth telah menyeru mereka supaya bertaubat tetapi telah ditolak bahkan mengusir baginda. Maka Allah telah menghancurkan kaum tersebut dengan azab yang dahsyat – bumi diterbalikkan dan dihujani batu-batu dari tanah yang dibakar. ( rujuk surah Hud :82-83 dan Surah AL-Hijr : 73-76 ).
Ilmu adalah rangkaian pengetahuan yang membolehkan seseorang mengenal dan memilih perkara yang benar atau salah. .Objektif ilmu pula adalah untuk menerbitkan khasyyah iaitu rasa takut kepada Allah.Aqal pula diperlukan supaya seseorang boleh mengendalikan dirinya. Supaya ilmu berfungsi , aqal perlu digerakkan kearah yang positif.
Akal yang digunakan untuk perkara negatif adalah nafsu. Jahil pula lawan kepada ilmu. Jahil di dalam al-Quran bukan bermakna bodoh atau tiada pelajaran semata-mata. Menurut Imam Al-Raghib Asfahani jahil merujuk ketiadaan ilmu atau berpegang akan sesuatu dengan tanggapan yang salah atau perilaku yang tidak selari dengan dengan hak yang sepatutnya. Konsep jahiliah pula bukan merujuk kepada zaman sebelum datangnya tamadun tetapi lebih menjurus kepada penyakit-penyakit yang menimpa masyarakat yang maju.
Surah An- Namlu:55 “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan, kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (Perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya)”. Istilah jahil digunakan di sini untuk kaum Nabi Luth yang mengamalkan seks songsang. Walaupun kaum Sodom bertamadun namun mereka masih jahil dengan memilih perkara yang salah dan membawa kebinasaan. Dalam konteks LGBTQ (mereka yang mengamalkan dan menyokong perbuatan yang berkaitan) perbuatan ini adalah secara jelas dilarang dalam al-Quran dan akan dilaknat oleh Allah. Walaupun mereka maju dari segi ekonomi, pelajaran dan ketamadunan tetapi mereka tetap mempertahankan perbuatan seks songsang ini.
Mereka menggunakan alasan hak asasi manusia dan bersungguh-sungguh ingin supaya mereka diterima oleh masyarakat. Sedangkan telah jelas jantina manusia hanya ada 2 iaitu lelaki dan wanita. Walaupun ada istilah khunsa namun golongan telah dengan jelas diterangkan keberadaan mereka. Berbeza dengan LGBTQ yang keadaan fizikal mereka jelas lelaki atau wanita tetapi beralasan diri mereka terperangkap dalam badan yang salah, atau kecenderungan mereka pada jantina yang sama atau lebih teruk nak jadi apa sahaja yang mereka mahu.
Tiada kebaikan pun yang dapat dikesan daripada perbuatan ini melainkan meningkatkan penularan HIV dan sakit kelamin yang lain, meningkatkan penggunaan dadah terlarang, merosakkan sistem kekeluargaan dan kecelaruan keturunan serta keadaan mental yang sakit. Orang yang berilmu dan menggunakan akal tidak akan sanggup untuk membiarkan diri mereka terbenam dalam kejahilan ini.
Jika mereka berfikir dengan waras bukan menggunakan nafsu mereka tidak akan terus meneruskan perbuatan seperti ini. Perbuatan anal seks itu sendiri jika diketahui dengan ilmu akan menyebabkan pelaku menghindarinya. Selain meningkatkan risiko jangkitan, kesan lain adalah sakit yang berpanjangan kerana luka (anal fissure ) yang sukar dirawat.
Kita tidak menafikan pesakit HIV ada hak untuk mendapatkan rawatan dan stigma terhadap mereka perlu dibuang. Kita juga tidak menafikan golongan LGBTQ perlu dibantu namun membiarkan mereka terus menerus melakukan perbuatan yang salah adalah umpama membiarkan mereka terjun ke dalam api yang panas membakar. Mereka perlu dibawa kembali kepada fitrah dan dilengkapi dengan ilmu supaya mereka sedar perbuatan yang salah dan bertaubat.Dengan ilmu mereka akan sedar kenapa mereka perlu menjauhi perbuatan yang terlarang ini dan tidak akan mengulanginya.
Penulis adalah Pakar Pembedahan Am Hospital An Nur
















