Kemalangan melibatkan empat kenderaan dan mengakibatkan seorang maut di Lebuh AMJ, Kesang, Sungai Mati, Tangkak, hari ini.

TANGKAK – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan empat buah kenderaan di Kilometer 12 Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Kesang, Sungai Mati di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 1 pagi melibatkan sebuah motosikal, pacuan empat roda Nissan Nivara, kereta Nissan Almera dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V.

“Hasil siasatan polis mendapati kejadian berlaku apabila motosikal tersebut dalam perjalanan dari Melaka ke Muar telah hilang kawalan lalu terlanggar bahagian belakang Nissan Navara yang berada di bahu kiri jalan.

“Penunggang motosikal terbabit terjatuh dan dilanggar Nissan Almera yang datang dari arah belakang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Roslan, pada masa sama, Honda CR-V yang juga dari arah sama terlanggar motosikal mangsa yang berada di laluan kemalangan.

Akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal iaitu seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Kes disiasat bawah Seksyen  41(1) Αkta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987  menyebabkan kematian kerana memandu melulu dan berbahaya.

Polis menasihatkan supaya tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya pemilik atau pemandu melanggar peraturan bawah Seksyen 48(1) APJ 1987.

Pihaknya menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut supaya menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Khairul Azmi Ibrahim 011-12445836.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast