Presiden MCW, Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Kerajaan diseru menggubal undang-undang yang mengehadkan perbelanjaan berkaitan populisme menjelang musim pilihan raya bagi mengelak penyalahgunaan peruntukan kerajaan untuk kepentingan politik.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ia termasuk meminda Akta Pilihan Raya untuk mencegah penyalahgunaan dana awam oleh parti pemerintah.

Menurut beliau, rasuah politik boleh berlaku secara terselindung di bawah nama projek pembangunan atau bantuan rakyat, sedangkan niat utamanya adalah meraih sokongan menjelang pilihan raya atau mengekalkan kuasa.

“Segala bentuk bantuan, peruntukan dan projek kerajaan perlu didedahkan kepada umum dengan mekanisme pemantauan melibatkan badan bebas, Parlimen, dan masyarakat sivil agar tiada ruang untuk manipulasi dan pembaziran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memberi amaran setiap perbelanjaan kerajaan mesti di kawal rapi dan tidak disalahgunakan oleh menteri atau ahli Parlimen untuk tujuan memancing undi sehingga menyebabkan hutang negara bertambah.

Sementara itu, Jais menyifatkan titah Seri Paduka Baginda itu bukan sahaja tepat pada masanya, malah mencerminkan keprihatinan tertinggi institusi diraja terhadap ancaman serius terhadap integriti tadbir urus negara.

Jelasnya, dalam keadaan hutang negara yang terus meningkat, sebarang perbelanjaan tidak berhemah atau bersifat populis demi kelangsungan politik adalah satu bentuk pengkhianatan kepada amanah rakyat dan masa depan negara.

Sehubungan itu, beliau turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bertindak proaktif menyiasat mana-mana perbelanjaan yang mencurigakan, termasuk projek-projek secara rundingan terus dan memantau elemen penyalahgunaan kuasa dalam pemberian peruntukan.

“MCW menganggap titah Yang di-Pertuan Agong itu sebagai satu `amaran keras berdaulat’ yang wajar dijadikan titik mula reformasi fiskal dan integriti dalam pentadbiran negara.

“Jika titah ini tidak diendahkan, ia bukan sahaja mengkhianati amanah baginda dan rakyat, tetapi meletakkan masa depan ekonomi negara dalam risiko lebih besar,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast