Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenar merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan sama ada beliau kebal daripada tindakan saman akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi esok.

Hakim Roz Mawar Rozain menetapkan demikian selepas mendengar penghujahan pihak-pihak pada prosiding yang dijalankan secara dalam kamar.

Mahkamah akan menentukan sama ada persoalan undang-undang itu yang dikemukakan Perdana Menteri melepasi ambang (threshold) yang mewajarkannya dirujuk ke mahkamah tertinggi negara.

Muhammad Yusoff Rawther. -foto FAREEZ FADZIL, 04 DISEMBER 2019 (GAMBAR FAIL)

Dalam permohonan itu, Anwar turut memohon Mahkamah Tinggi menangguhkan perbicaraan saman bekas penyelidiknya, Muhammad Yusoff Rawther yang mendakwa beliau menyerangnya secara seksual.

Perbicaraan itu dijadualkan bermula bulan ini selama tujuh hari iaitu pada 16 hingga 19 Jun dan 23 hingga 25 Jun ini.

Dua minggu lalu, Anwar memfailkan permohonan untuk merujuk lapan persoalan ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan sama ada beliau mempunyai kekebalan daripada saman sivil yang difailkan oleh Muhammad Yusoff.

Menerusi permohonan yang difailkan oleh firma guamannya, Tetuan Zain Megat & Murad, Anwar memohon mahkamah tertinggi negara memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.

Perdana Menteri turut memohon agar mahkamah mempertimbangkan sama ada saman tersebut menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif serta melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan.

Dalam permohonan sama, Ahli Parlimen Tambun itu turut memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi perlu menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada saman itu merupakan penyalahgunaan proses atau suatu ancaman kepada kepentingan awam.

Sekiranya benar, mahkamah perlu memutuskan sama ada saman itu wajar digantung atau dibatalkan demi mengekalkan tadbir urus berperlembagaan.

Permohonan itu juga mahu Mahkamah Persekutuan menentukan sama ada Anwar, sebagai Perdana Menteri semasa, berhak menurut Perkara 5(1) Perlembagaan untuk perlindungan daripada litigasi yang bersifat strategik atau dipolitikkan bagi menjejaskan keupayaannya mentadbir negara.

Muhammad Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada 2021 selepas mendakwa diserang secara seksual di kediaman Presiden PKR itu di Segambut pada Oktober 2018.

Dalam saman yang difailkannya, bekas penyelidik itu mendakwa, kejadian tersebut berlaku pada 2018, sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.

Plaintif mendakwa, Ahli Parlimen Tambun itu melakukan serangan seksual dan pencerobohan ke atas dirinya walaupun dia menolak perbuatan defendan serta memintanya berhenti melakukan perbuatan itu.

Berikutan dakwaan itu, Muhammad Yusoff selalu plaintif dituduh berkomplot untuk menjatuhkan dan merosakkan karier politik defendan, selain memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan pelbagai pihak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast